BUTTERWORTH – Seorang lelaki warga Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas lima pertuduhan termasuk cuba mencederakan bayi berusia 11 bulan menggunakan pisau, pada 9 Ogos lalu.
Tertuduh, Nguyen Minh Hoa, 36, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Vietnam di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap dua lelaki masing-masing warga tempatan dan Nepal menggunakan sebilah pisau di Pasaraya Billion Telaga Air di sini, jam 1 tengah hari.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa cuba mendatangkan kecederaan terhadap bayi lelaki berusia 11 bulan menggunakan sebilah pisau di lokasi dan masa sama dengan pertuduhan pertama.

Pendakwaan bagi ketiga-tiga kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.
Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa mencuri udang, ketam merah, kerang, ikan cencaru dan ayam bernilai RM180 milik pasar raya berkenaan pada jam 12.35 tengah hari hari sama dan pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh juga didakwa tinggal di negara ini selepas tamat pas lawatan pada 18 Oktober 2024 iaitu 9 bulan 22 hari tanpa alasan munasabah, satu kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Asisten Superintendan Nor Aziah Hasan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam rayuan, tertuduh mohon hukuman ringan dan berbentuk denda atas alasan mempunyai tiga orang anak kecil selain ayahnya telah meninggal dunia.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM20,000 bagi pertuduhan pertama hingga ketiga dan sekiranya gagal bayar akan dipenjara 23 bulan.
Manakala bagi pertuduhan empat dan kelima tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan.
ARTIKEL BERKAITAN
Lelaki Vietnam tarik bayi selepas mencuri di pasaraya direman empat hari
Media sebelum ini melaporkan, lelaki itu bertindak agresif apabila cuba melarikan diri selepas mencuri makanan laut sebelum menarik bayi berusia 11 bulan daripada pelukan ibunya sambil memegang sebilah pisau.
Lelaki berkenaan bertindak sedemikian ketika percubaan melarikan diri bagi mengelak ditahan penyelia pasar raya dan pihak keselamatan. – MalaysiaGazette
















