Dua kanak-kanak ditemui lemas selepas kenderaan dinaiki mereka menggelongsor ke dalam Sungai Linggi di Tanjung Agas, Port Dickson pada 4 September 2025.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Syariah Seremban mengesahkan status agama dua beradik yang meninggal dunia selepas kereta dinaiki mereka menggelongsor ke Sungai Linggi, Tanjung Agas, Port Dickson minggu lalu, adalah Islam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pengesahan status agama kanak-kanak terbabit dibuat dalam satu sesi pendengaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariahm hari ini.

Sehubungan itu menurut beliau, mahkamah memerintahkan dua kanak-kanak malang itu dikebumikan mengikut cara Islam.

“Jadi, pengebumian mangsa akan diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Maqbarah Salimah di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alzafny menambah, pihak waris juga telah mewakilkan kepada JHEAINS untuk menuntut jenazah mangsa.

Dua beradik berusia enam dan lapan tahun itu lemas selepas kereta yang dinaiki bersama bapa dan seorang wanita terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

Difahamkan ketika kejadian, kereta tersebut diparkir di tebing sungai dalam keadaan enjin dimatikan sementara bapa mangsa keluar sebentar untuk merokok.

Terdahulu media melaporkan, JHEAINS menerima permohonan daripada pihak polis untuk semakan status agama dua beradik berkenaan susulan nama yang tertera di dokumen peribadi mereka adalah nama orang Cina.

Ia selepas bapa kanak-kanak terbabit memaklumkan anaknya telah diislamkan di Kelantan.

Sementara itu, Pengarah JHEAINS Mohd Asri Abdullah dalam kenyataan berkata, jenazah dua beradik itu diuruskan di Hospital Port Dickson kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Maqbarah Salimah, Taman Intan Perdana, Port Dickson hari ini.

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast