Foto Instagram Nadeera.

KUALA LUMPUR – Penyanyi meningkat naik, Nadeera Zaini melakar sejarah  dalam kerjaya seninya apabila terpilih mewakili negara ke acara berprestij ABU Song Festival 2025 di Tsonjin Boldog, Mongolia pada Sabtu ini.

Bakal mempertaruhkan lagu popularnya, Bukan Lagi Kita, dia meluahkan rasa terharu kerana berpeluang mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa, menganggap pemilihan tersebut merupakan penghormatan besar buatnya.

“Lagu Bukan Lagi Kita sangat dekat di hati saya dan pendengar, jadi saya mahu nyanyikannya dengan seluruh jiwa sebagai hadiah buat semua.

“Saya sedar di pentas ini saya bukan sekadar Nadeera, saya ialah anak Malaysia.

“Setiap nota yang saya nyanyikan nanti adalah doa, harapan dan juga kebanggaan kita bersama. Insya-Allah, saya akan berikan persembahan yang terbaik,” katanya yang berusia 32 tahun dalam kenyataan yang dikeluarkan Rocketfuel Entertainment hari ini.

Nadeera turut menyifatkan peluang itu membawa makna yang jauh lebih besar biarpun  bukan kali pertama beliau menjejakkan kaki di pentas luar negara dengan persembahan di Vietnam dan Indonesia sebelum ini

“Saya amat berbangga kerana dapat mewakili Malaysia di pentas dunia. Setiap kali melangkah ke luar negara, saya membawa semangat dan harapan peminat di tanah air.

“Kali ini ia lebih istimewa kerana saya bakal tampil di festival berskala antarabangsa bersama-sama dengan barisan artis hebat dari seluruh Asia. Saya harap dapat mengharumkan nama negara dengan cara yang tersendiri,” katanya.

Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) itu turut meluahkan rasa syukur dan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong dan memberi kepercayaan termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai badan mewakili ABU yang membuat pemilihan tersebut, pasukan produksi, pemuzik dan semua peminat yang menjadi tulang belakang kerjayanya.

“Doakan perjalanan ke Mongolia dipermudahkan dan persembahan nanti menyentuh hati sesiapa yang menonton,” katanya.

ABU Song Festival merupakan acara gala tahunan tanpa pertandingan yang dianjurkan buat pertama kali pada 2012 oleh Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU), menghimpunkan persembahan lagu atau instrumental oleh pemuzik dari seluruh rantau Asia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast