KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim mendakwa pelaksanaan operasi pengosongan premis di Kampung Sungai Baru semalam, terlalu keras dan mengancam keselamatan penduduk.
Beliau turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak menyediakan penempatan sementara kepada 23 keluarga yang tiada tempat tinggal selepas diminta mengosongkan kediaman masing-masing.

Insiden pengosongan rumah di Kampung Sungai Baru itu mencetuskan suasana tegang sehingga melibatkan dua individu tercedera iaitu Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman yang luka di kepala serta seorang peserta protes, Hoslan Hussin, cedera di tangan.
Mohamad Shafiq berkata, penduduk kini berdepan keadaan tidak menentu apabila barangan peribadi mereka dikeluarkan dan dipindahkan ke lokasi yang tidak dimaklumkan.
“Sehingga kini mereka tidak disediakan tempat tinggal. Isu ini menyentuh hak asasi manusia kerana majoriti penduduk yang terjejas adalah warga emas dan keluarga yang masih menanggung anak kecil,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, kerajaan tidak boleh sekadar menguatkuasakan undang-undang tanpa menjamin maruah dan kelangsungan hidup rakyat. -MalaysiaGazette
















