MELAKA – Buaya tembaga dipercayai sesat di Sungai Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka, semalam akhirnya berjaya ditangkap pagi tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi berkata, reptilia sepanjang 1.5 meter itu ditangkap jam 11.45 pagi tadi.

“Tangkapan diketuai Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka, Petra Sulai bersama 10 anggotanya selepas lebih dua jam menunggu bermula jam 9.30 pagi tadi.
“Penangkapan ini melegakan penduduk kampung apabila dapat meneruskan aktiviti memancing dan berenang di sungai berkenaan selepas ini,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, beliau berterima kasih kepada Perhilitan dan penduduk kampung yang membantu menangkap reptilia sesat itu daripada habitat asalnya di Sungai Lereh.
“Sebenarnya, kita percaya buaya ini tersesat daripada habitat asal ke sungai ini ekoran musim hujan dan air pasang baru-baru ini,” katanya.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan penduduk di sekitar Kampung Paya Luboh, Tangga Batu gempar apabila kelibat seekor buaya dipercayai sepanjang 1.5 meter muncul di sungai tepi sawah di sini tengah hari semalam
Kehadiran reptilia itu mula disedari kira-kira jam 12 tengah hari oleh sekumpulan pemancing yang sedang menangkap ikan di tebing sungai berkenaan. – MalaysiaGazette
















