ALOR GAJAH – Bekas kelindan lori diberkas polis selepas menyimpan 1,500 peket dadah jenis heroin dalam keretanya dipercayai untuk dijual kepada penagih di negeri ini sejak Julai lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintenden Azrul Mohamed berkata, suspek berusia 31 tahun diberkas di kawasan Jalan Industri Rumbia pada pukul 6.10 pagi Jumaat lalu.

Menurutnya, serbuan dilakukan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

“Ketika ditahan, suspek sedang menunggu pelanggannya di hentian bas selepas mengambil bekalan dadah di kawasan Industri Rembia.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan dipandu suspek menjumpai 1,500 peket plastik lutsinar dipercayai dadah jenis heroin seberat 2,129.30 gram dan 100 peket plastik disyaki syabu seberat 96 gram dianggarkan bernilai RM35,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, suspek mengaku pernah bekerja sebagai kelindan lori namun berhenti kerana merasakan gajinya terlalu kecil.

“Kita percaya suspek telah menjadikan keretanya sebagai stor penyimpanan dadah sebelum menjualnya kepada pelanggan.

“Pihak polis turut menyita sebuah motosikal jenis Benelli 150 milik suspek dianggarkan bernilai RM5,000, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM40,000,” katanya.

Mengulas lanjut Azrul berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau status ‘No Further Action’ di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Hasil saringan awal ujian air kencing bagaimanapun mendapati suspek negatif dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast