PAS sekali lagi menunjukkan wajah angkuhnya dan ego yang besar. Keputusan mahu menggunakan logo sendiri di negeri-negeri SG4 – Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis – bukan sekadar soal strategi, tetapi lambang keangkuhan politik.
PAS seolah-olah mahu membuktikan bahawa mereka cukup kuat untuk berdiri sendiri. Namun, sejarah dan realiti politik Malaysia membuktikan sebaliknya. Walaupun muncul sebagai antara parti terbesar di Parlimen ketika PRU 2022, perlu diingatkan itu bukan kejayaan sendiri PAS, sebaliknya kekuatan kuasa baru ketika itu iaitu Perikatan Nasional yand diketuai oleh mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hakikatnya, sejak merdeka, PAS tidak pernah berjaya memenangi kuasa secara mutlak di peringkat nasional.
Kekuatan PAS hanya terkumpul di kawasan majoriti Melayu yang homogen. Di luar kubu itu, terutama di kawasan bandar, pinggir bandar, dan negeri berbilang kaum, bendera bulan hanya menimbulkan rasa curiga dan tidak diterima secara meluas.
PRU bukan hanya tentang Kelantan atau Terengganu. PRU adalah tentang Selangor, Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak – wilayah yang menentukan siapa benar-benar berkuasa di Putrajaya.
Jika PAS terlalu selesa dengan “zon selamat” di SG4, itu hanyalah kemenangan kecil yang menipu diri. Malaysia bukan hanya empat negeri. PAS lupa bahawa jalan ke Putrajaya memerlukan sokongan rakyat majmuk. Parti yang gagal melintasi sempadan perkauman dan agama akan kekal sebagai parti wilayah – besar dalam kubu sendiri, tetapi kecil di mata rakyat Malaysia.
Keangkuhan PAS lebih jelas bila mereka meletakkan parti melebihi gabungan. Dengan mendesak untuk mengguna logo sendiri, PAS menghantar mesej bahawa semangat perpaduan dalam Perikatan Nasional tidak penting.
Mereka mahu tonjolkan jenama sendiri, bukannya lambang kesatuan. Sedangkan, nama Perikatan Nasional itu yang telah “ditunggang” PAS untuk menjadi parti dominan hari ini. Tanpa *gelombang biru* Perikatan Nasional yang dilihat lebih selamat dan kewibawaan pemimpin seperti Tan Sri Muhyiddin ketika itu, PAS tidak akan berjaya sebesar ini. Ramai yang di atas pagar masih sangsi dan curiga dengan PAS, namun ditenangkan dengan kehadiran parti Melayu yang lebih moderat seperti Bersatu dalam PN.
Kunci kekuatan undi di kalangan orang Melayu terlatak pada formula gabungan parti Melayu dan parti Islam, dan bukan parti Islam sahaja.
Kita juga perlu ingat, PAS tidak pernah sampai ke politik arus perdana tanpa menumpang bahu orang lain. Dari Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, hinggalah kini Perikatan Nasional, PAS naik kerana gabungan, bukan kerana kekuatannya yang tersendiri.
Bila PAS berdegil untuk berdiri sendiri, mereka sedang mengulangi kesilapan lama – tamak, angkuh, akhirnya rugi.
Lebih penting, imej PAS sendiri sukar diterima dalam Malaysia moden. Politiknya eksklusif, nadanya menghakimi, dan retoriknya sering menakutkan mereka yang tidak sehaluan. Inilah sebab mengapa, walau berjaya menang besar di Pantai Timur, PAS tetap gagal menembusi hati pengundi di kawasan kosmopolitan. Malaysia hari ini bukan lagi negara sempit satu warna, tetapi negara berbilang suara. Parti yang gagal menyesuaikan diri akan ditolak.
PRU akan datang bukan soal logo, tetapi soal siapa mampu satukan rakyat. Logo bulan mungkin memberi semangat di Kota Bharu atau Kuala Nerus, tetapi ia tidak membawa banyak makna di Shah Alam, Gelang Patah atau Sandakan.
Apa gunanya megah dengan bendera hijau, jika akhirnya ia hanya menjadi simbol parti yang gagal melangkah keluar dari bayang sendiri?
Keangkuhan politik ada harganya. PAS boleh terus berbangga dengan SG4, tetapi Putrajaya tidak akan pernah datang dengan sikap memencilkan diri. Malaysia lebih besar daripada kubu hijau.
Selagi PAS tidak mahu berubah, selagi itulah mereka akan kekal jadi parti kenegerian dan berserban, bukan parti masa depan negara.
——————————————————————————————-
















