Anthony Loke berucap pada majlis perasmian Pusat Dialisis Perkeso Cawangan Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Kementerian Pengangkutan akan mengemukakan cadangan kepada Jemaah Menteri bagi melanjutkan tempoh pajakan tanah kilang penapisan gula MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM Prai) di Kampung Manis di Butterworth dekat sini untuk 10 tahun lagi.

Menterinya, Anthony Loke berkata, pajakan sedia ada sebenarnya sudah berakhir pada 30 November 2024 namun kilang itu tidak diminta berpindah serta-merta.

Katanya, pihak kerajaan memberi ruang kepada syarikat terbabit untuk melaksanakan proses pemindahan ke lokasi baharu dalam tempoh sesuai.

“Jadi, tidak ada isu bahawa kilang itu akan ditutup serta-merta dan kita anggarkan sekurang-kurangnya akan mengambil masa 10 tahun untuk dipindahkan.

“Saya rasa agak munasabah kerana kilang itu diberikan masa tetapi mereka juga kena bekerjasama dengan pihak kita.

“Selain itu, saya akan bawa perkara ini kepada Jemaah Menteri untuk mendapat satu keputusan agar pajakan disambung 10 tahun lagi,” katanya selepas menghadiri perasmian Pusat Dialisis Perkeso Cawangan Seberang Jaya di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, beliau sudah beberapa kali turun ke Pulau Pinang untuk mengumumkan perancangan pembangunan semula Kampung Manis yang turut melibatkan kerjasama sektor swasta menerusi proses Request for Proposal (RFP).

Katanya, rancangan itu termasuk penyediaan rumah percuma kepada penduduk setinggan di kawasan berkenaan.

“Kita mahu membantu penduduk setinggan di yang berada dalam kawasan itu berlandaskan kepada visi Kerajaan Madani dan harapan Perdana Menteri untuk memberikan perumahan yang lebih baik kepada semua golongan masyarakat.

“Justeru, memang akan ada perbincangan bersama pihak kerajaan negeri, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Kementerian Pengangkutan kerana kalau mereka tak nak pindah selama-lamanya, maka kawasan itu tak boleh dibangunkan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Felda runding lanjut pajakan tanah kilang gula MSM di Perai

Media pada Rabu lalu melaporkan, Felda meminta supaya pajakan tanah kilang MSM Prai dilanjutkan 30 tahun lagi kerana kedudukan strategik kilang berhampiran pelabuhan dan landasan kereta api yang dianggap penting kepada operasi industri gula sejak 1964.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilaporkan berkata sebarang usaha menutup kilang itu bukan sahaja menjejaskan bekalan gula dalam negara, malah akan membabitkan kos pembangunan semula yang tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast