Daniel Gooi.

GEORGE TOWN – Jangkitan influenza masih terkawal di Pulau Pinang walaupun terdapat sedikit peningkatan kes dalam survelan makmal, kata Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sentiasa menjalankan pemantauan melalui survelan di klinik sentinel di seluruh negeri, meskipun influenza bukan penyakit yang wajib dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] kecuali ketika berlaku wabak.

“Berdasarkan analisis terkini, tren aktiviti Survelan Influenza Like Illness (ILI) berasaskan klinikal dari Minggu Epid (ME) 32 hingga ME 37 tahun 2025 menunjukkan kadar antara 9.5 hingga 10.5 peratus dan tidak mencatatkan peningkatan ketara.

“Survelan ILI berasaskan makmal pula mencatat sedikit peningkatan kadar positif iaitu antara 26.7 hingga 28.9 peratus dengan Influenza A sebagai strain dominan.

“Namun begitu, kadar positif ini masih lebih rendah berbanding tempoh sama pada tahun 2024 iaitu antara 35.6 hingga 51.1 peratus,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Daniel, jumlah kluster jangkitan saluran pernafasan untuk tahun ini juga dilaporkan lebih rendah sebanyak iaitu 52.4 peratus berbanding tahun lalu.

“Walaupun keadaan terkawal, pola peningkatan kes menjelang hujung tahun kekal konsisten seperti tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya kekal berwaspada dan mengamalkan langkah pencegahan termasuk mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan, menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin selain memakai pelitup muka.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui JKNPP akan terus memantau perkembangan jangkitan saluran pernafasan di dalam dan luar negara serta meningkatkan kesiapsiagaan dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast