Gambar hiasan

BUKIT MERTAJAM -Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai terbabit dengan sindiket penipuan dalam talian jenis phone scam yang menyamar sebagai pegawai bank dan polis hingga menyebabkan kerugian RM600,850.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan semalam menerusi Ops Mule NSRC  yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.

Suspek yang juga peniaga itu merupakan salah seorang daripada pemilik akaun bank yang disyaki digunakan sindiket phone scam.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek telah menyerahkan butiran akaun serta kad ATM miliknya kepada seorang lelaki tempatan melalui serahan tangan di kawasan Seberang Perai Tengah.

“Siasatan lanjut turut mendapati suspek menyerahkan akaun dan kad bank itu sekitar Ogos lalu selepas berkenalan dengan seorang lelaki melalui aplikasi Facebook ketika membuat pinjaman wang dalam talian sebanyak RM500.

“Bagaimanapun suspek hanya menerima RM400 daripada pinjaman tersebut sebelum  diarahkan membuat bayaran semula sebanyak RM100 setiap minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan denda jika disabitkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast