Penjawat awam menyaksikan siaran langsung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Belanjawan bagi tahun 2026 di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kebijaksanaan dalam pemerintahan menuntut kesiapsiagaan dan keinsafan terhadap kerentanan nasib bangsa bukan kealpaan dalam menghadapi cabaran masa depan.

Ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini, beliau memetik hikmah klasik Tamadun China purba yang berbunyi 居安思危,思则有备,有备无患 (Jū ān sī wēi, sī zé yǒu bèi, yǒu bèi wú huàn) yang bermaksud, “dalam damai, kita wajar berwaspada akan ancaman dan mara bahaya.”

Menurut Perdana Menteri, falsafah besar dari karya sejarah agung Zuo Zhuan dalam Catatan Musim Bunga Dan Luruh itu menjadi pedoman penting  kestabilan hanya akan kekal teguh apabila pemerintah sentiasa insaf akan kemungkinan bahaya dan perubahan mendatang.

“Falsafah besar dari karya sejarah ini mengingatkan kita betapa kebijaksanaan pemerintahan menuntut kesiapsiagaan bukan kealpaan dan bahawa kestabilan hanya teguh apabila disertai keinsafan akan rapuhnya nasib bangsa sekiranya leka dan alpa,” ujar Anwar.

Menurut beliau, falsafah itu sangat relevan dengan keadaan dunia semasa yang sarat dengan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik.

Justeru setiap dasar yang digubal mesti berpaksikan persediaan menghadapi risiko dan perubahan global.

Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM419.2 bilion dalam Belanjawan 2026 mewakili 19.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), kata Kementerian Kewangan (MOF).

Jumlah ini mewakili peningkatan sebanyak 1.7 peratus berbanding Belanjawan Disemak 2025. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast