Anggota bomba melakukan kerja-kerja memadam kebakaran dua kereta di Lebuhraya Senai-Desaru Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Dua maut manakala tiga lagi kritikal dalam kemalangan tiga kenderaan dengan dua daripadanya terbakar di Kilometer 56, Lebuhraya Senai-Desaru di sini hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Mohd Hazmi Zulkafli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubungan kebakaran tersebut pukul 11.25 pagi.

Serentak itu katanya, lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi kejadian, mendapati kemalangan melibatkan kereta jenis Volkswagen serta dua kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V dan Toyota Fortuner.

“Kejadian berlaku apabila kereta Toyota Fortuner bertembung dengan Wolkswagen dan menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbakar manakala Honda CRV itu sempat mengelak daripada melanggar dengan kedua-dua kereta yang terbakar,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, terdapat lima mangsa semuanya lelaki yang belum diketahui usia mereka berada dalam Toyota Fortuner dan Wolkswagen, mereka sempat dikeluarkan orang awam sebelum pihak bomba tiba.

Bagaimanapun katanya, dua mangsa disahkan meninggal dunia manakala mangsa lain yang parah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

“Kelima-lima mereka ini yang maut dan parah akibat kemalangan, bukan disebabkan kebakaran,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman ketika dihubungi mengesahkan kemalangan yang berlaku yang membabitkan dua kematian.

Bagaimanapun, katanya, pegawai penyiasat masih di lokasi kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Dua maut dan dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat. Tiga yang cedera parah pula di bawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk rawatan lanjut,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast