Perwakilan Shandong Huifa Foodstuff bersama wakil dari UMHRC di majlis tanda tangan MoU.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya Halal Research Centre (UMHRC) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat kecemerlangan halal negara dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Shandong Huifa Foodstuff Co. Ltd., sebuah syarikat makanan terkemuka dari China yang tersenarai di papan utama Shanghai Stock Exchange.

Majlis menandatangani MoU tersebut diadakan di Bilik Mesyuarat High Impact Research (HIR), Universiti Malaya, dan disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaya, Prof. Ir. Dr. Kaharudin Dimyati, serta Pengerusi Halword dan Penasihat Syariah Shandong Huifa, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa. Shandong Huifa – Gergasi industri makanan berteknologi tinggi.

Ditubuhkan pada tahun 2005, Shandong Huifa Foodstuff Co. Ltd. kini merupakan antara syarikat makanan paling berpengaruh di China, dengan pengkhususan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengeluaran, jualan, serta penyediaan perkhidmatan rantaian bekalan makanan sihat dan hidangan siap sedia.

Syarikat ini beroperasi di kawasan seluas lebih 400,000 meter persegi dan memiliki lima pangkalan pengeluaran di Shandong. Ia telah menerima pelbagai pengiktirafan, termasuk National First-Class Enterprise in Work Safety Standardization, High-Tech Enterprise, dan Key Leading Enterprise in Agricultural Industrialization in Shandong Province.

Menariknya, Shandong Huifa juga memiliki pelbagai pusat penyelidikan bertaraf tinggi seperti Academician Workstation, Postdoctoral Workstation, Shandong Provincial Enterprise Technology Center, serta National-Local Joint Engineering Research Center for Marine Functional Frozen Prepared Foods.

Ini menjadikan Huifa bukan sekadar pengeluar makanan, tetapi juga peneraju inovasi dalam keselamatan makanan, teknologi sejuk beku, dan produk berasaskan maritim.’

Melalui MoU ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam bidang pembangunan kapasiti halal, termasuk latihan profesional halal, pembangunan kurikulum halal, dan pengukuhan pendidikan halal di institusi pengajian tinggi di beberapa wilayah utama China.

Kerjasama ini juga memberi ruang kepada UMHRC untuk berkongsi kepakaran Malaysia dalam tadbir urus halal, piawaian, dan ekosistem pendidikan halal dengan rakan-rakan strategik antarabangsa. Ia turut membuka peluang kepada pelajar dan tenaga akademik Universiti Malaya untuk menjalankan aktiviti penyelidikan, latihan industri, serta program pertukaran ilmiah dalam bidang halal dan keselamatan makanan.

Menurut Prof. Madya Dr. Zalina Zakaria, Pengarah UMHRC dan Ketua Perunding Dasar Halal Negara, MoU ini melambangkan kepercayaan China terhadap kepakaran Malaysia
dalam sistem jaminan halal.

“Shandong Huifa bukan sahaja syarikat tersenarai, tetapi juga antara pemain utama dalam industri makanan global. Hubungan ini bukan sekadar akademik, tetapi strategik — bagi membina keupayaan halal yang diiktiraf dunia,” katanya.

Kerjasama ini juga selaras dengan visi Universiti Malaya untuk menjadi universiti bereputasi global yang menyumbang kepada kemajuan industri dan masyarakat.

“Kami percaya bahawa perkongsian pengetahuan dan kepercayaan adalah asas kejayaan ekosistem halal dunia. MoU ini adalah langkah permulaan ke arah memperkukuh diplomasi halal antara Malaysia dan China,” ujar Dr. Zalina mengakhiri kenyataannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast