JOHOR BAHRU – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran tidak seharusnya menjadikan perbezaan pandangan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai senjata politik yang merugikan gabungan politik tersebut.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, Vigneswaran sewajarnya menggunakan saluran yang betul dalam menyelesaikan sebarang isu atau kembali ke meja rundingan sekiranya mahu mengutarakan sebarang pandangan.
“Dalam semangat setiakawan BN yang telah lama terjalin, sebarang perbezaan pendapat seharusnya diselesaikan melalui meja perundingan, bukan melalui kenyataan terbuka yang boleh melemahkan kesepaduan parti-parti komponen dalam BN.
“MIC sebagai satu komponen penting dalam BN mempunyai sejarah perjuangan yang panjang bersama UMNO dan MCA dalam membina kestabilan politik tanah air.
“Justeru penting untuk MIC Pusat menjunjung semula semangat kebersamaan ini, seperti yang sedang ditunjukkan kepimpinan MIC Johor,” katanya dalam kenyataan.
Vigneswaran mendakwa Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menipu dalam kenyataannya berkenaan MIC.
Beliau merujuk dakwaan Ahmad Zahid bahawa kajian yang dibuat mendapati ahli MIC dan MCA tidak mahu parti mereka meninggalkan BN.
Mengulas lanjut, Md Israk berkata, MIC Johor telah menyatakan dengan jelas komitmen mereka untuk terus kekal bersama-sama BN dan bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
“Pendirian ini mencerminkan kematangan politik, kesetiaan serta kesedaran bahawa kekuatan BN hanya dapat dibina melalui perpaduan dan konsensus. Sikap ini wajar menjadi contoh kepada MIC di peringkat Pusat,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















