KUALA LUMPUR – Kerajaan memperkukuh usaha mengekang penipuan dan buli dalam talian melalui pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) yang bertujuan meningkatkan kawal selia serta keselamatan siber negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang membangunkan peraturan dan kod baharu di bawah akta berkenaan, termasuk pengurusan risiko serta kawalan terhadap kandungan memudaratkan.
“Dari 1 Januari 2022 hingga 30 September 2025, MCMC mengemukakan 139,880 permohonan untuk menurunkan kandungan penipuan, dengan 133,348 iaitu 95 peratus berjaya dipadam, manakala 38,470 kandungan buli turut dipadam daripada 50,160 permohonan iaitu 77 peratus.
“Langkah itu diperkukuh dengan pelaksanaan lesen kepada penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial untuk memohon dan mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta 588 bermula 1 Januari 2025.
“Ia bertujuan memastikan setiap penyedia perkhidmatan memikul tanggungjawab dalam menguruskan operasi mereka dengan baik di Malaysia termasuk menangani kandungan penipuan dan buli,” katanya semasa menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, katanya, kerajaan turut menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Buli Siber dan Jawatankuasa Jenayah Siber Polis Diraja Malaysia, PDRM–MCMC bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan respons terhadap kes jenayah dalam talian. – MalaysiaGazette
















