Mayat Mustaqqeem Mansoor dari Sungai Petani, Kedah ditemukan pada 3.30 petang di puncak Gunung Liang Barat.

IPOH – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti mendaki di Gunung Liang di Tanjong Malim sejak dua hari lepas ditemukan maut petang tadi.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata, mangsa Mustaqqeem Mansoor, 34, yang beralamat di Sungai Petani, Kedah ditemukan pada 3.30 petang di puncak Gunung Liang Barat.

“Ketua operasi melakukan pencarian mangsa dengan mengaplikasikan konsep LAST dan mengikuti peta laluan pendakian sehingga ke lokasi terakhir mangsa dipercayai hilang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Shazlean berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu melibatkan 22 anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Pasukan Bantuan Sukarela (PBS) Slim Village dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Beliau berkata, mangsa bersama 10 rakan memulakan pendakian dari Bukit Fraser, Pahang pada 10 Okt lepas dan dijadualkan turun di Gunung Liang, namun kali terakhir dilihat pada 14 Okt sekitar 10.30 malam di puncak Gunung Liang Barat dalam keadaan sakit kaki dan berjalan perlahan.

Menurut Shazlean, helikopter bomba dijangka digunakan bagi membawa turun mangsa dari lokasi kejadian pada 9 pagi esok.

“Berdasarkan laporan dari Unit Udara Bomba, penggunaan helikopter tidak dapat dilakukan pada masa ini atas faktor cuaca, maka pasukan penyelamat kedua akan naik ke atas bersama kelengkapan bagi menggantikan pasukan penyelamat pertama.

“Pasukan berkenaan akan bermalam di atas puncak Gunung Liang, manakala kerja-kerja membawa turun mangsa menggunakan helikopter akan dilaksanakan pada 9 pagi esok,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan mangsa dipercayai hilang ketika melakukan aktiviti mendaki bersama 10 rakan di Gunung Liang dengan pasukan bomba melakukan SAR. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast