Azizee Ismail

BUKIT MERTAJAM – Polis Pulau Pinang mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes pembunuhan dua beranak di Kampung Sekolah Juru di sini, pada Sabtu lalu bagi mengelak menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, penahanan tiga individu termasuk suami mangsa sebelum ini dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti pelaku sebenar.

Setakat ini, pelaku sebenar dalam kejadian itu sedang dikenal pasti dan siasatan turut diperluas bagi merungkai motif utama pembunuhan dua beranak tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Azizee, orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dengan teliti.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes bunuh dua beranak: Dua lelaki termasuk warga asing direman 7 hari

Dua beranak maut akibat ditetak pada belakang leher

MalaysiaGazette semalam melaporkan, dua lagi lelaki termasuk seorang warga Bangladesh direman selama tujuh hari sehingga 26 Oktober ini bagi membantu siasatan pembunuhan Sariya Che Hin, 51, dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11 tahun.

Difahamkan, suspek tempatan berusia 45 tahun itu ditahan di rumahnya di Juru di sini, manakala lelaki Bangladesh berumur 46 tahun itu pula, ditahan di Bukit Tambun.

Sehari sebelum itu, polis mendapatkan perintahkan reman selama tujuh terhadap suami mangsa juga bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada Sabtu lalu, dua beranak ditemui mati dalam satu pembunuhan kejam di rumah sewa mereka.

Mayat wanita itu ditemui di bahagian dapur tingkat bawah rumah dengan keadaan kepalanya hampir putus manakala anaknya pula, meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah separa kayu itu.

Mayat mereka ditemui suami mangsa sekitar pukul 7.30 malam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast