Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz mempengerusikan Sesi Khas Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) mengenai DEFA bersama Menteri Ekonomi dan Perdagangan negara anggota ASEAN serta wakil Sekretariat ASEAN.

KUALA LUMPUR – Malaysia hari ini berjaya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-26 serta Mesyuarat Khas Kedua mengenai Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga Pengerusi Majlis AEC berkata, mesyuarat berkenaan dihadiri oleh semua Menteri AEC dari 10 negara anggota ASEAN serta Timor-Leste sebagai pemerhati.

Katanya, mesyuarat kali ini amat penting kerana berlangsung pada fasa akhir pelaksanaan Blueprint AEC 2025 dan menjadi landasan kepada agenda pasca-2025 menerusi Wawasan Komuniti ASEAN 2045 serta Pelan Strategik AEC 2026–2030.

“Di bawah kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, kita berjaya memperkukuh asas ekonomi serantau dan memastikan kesinambungan usaha penyepaduan ekonomi yang menyeluruh,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat di Pusat Media Antarabangsa (IMC) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia mencatat kemajuan positif dalam pelaksanaan 18 Keutamaan Ekonomi ASEAN (Priority Economic Deliverables, PEDs) dengan tujuh telah disiapkan sepenuhnya dan lima lagi dijangka selesai menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 tahun ini.

Antara inisiatif utama termasuk penandatanganan Protokol Kedua Pindaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 yang akan memperkukuh integrasi ekonomi serantau serta hubungan perdagangan ASEAN dengan rakan luar.

Beliau turut memaklumkan tentang pemeteraian Memorandum Persefahaman Grid Kuasa ASEAN (APG) dan Perjanjian Rangka Kerja Keselamatan Petroleum ASEAN dengan sokongan pembiayaan daripada Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia (ADB) untuk mempercepat pembangunan infrastruktur tenaga rentas sempadan.

Dalam komitmen terhadap agenda kelestarian, ASEAN turut meluluskan Garis Panduan Pelaburan Mampan ASEAN (ASEAN Sustainable Investment Guidelines) bagi memperkukuh pelaburan bertanggungjawab sejajar dengan sasaran karbon sifar dan ekonomi kitaran.

Katanya lagi, ASEAN mengesahkan Rangka Kerja Rantaian Bekalan Semikonduktor ASEAN (ASEAN Framework for Integrated Semiconductor Supply-Chain) bagi memposisikan rantau ini dalam pasaran semikonduktor global yang dijangka mencecah AS$1 trilion menjelang 2029.

Beliau turut mengumumkan rundingan bagi Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) telah hampir dimuktamadkan dan dijangka ditandatangani tahun depan.

“DEFA akan menjadi perjanjian digital serantau pertama yang memastikan aliran data, barangan dan perkhidmatan secara selamat serta lancar, dengan sokongan peraturan, infrastruktur dan bakat digital yang kukuh,” katanya.

Selain itu, Majlis AEC turut menyokong beberapa Deklarasi Pemimpin ASEAN melibatkan pembangunan mineral, pelancongan berkualiti, makanan, pertanian, perhutanan serta penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (ASEAN AI SAFE Network) bagi memupuk penggunaan teknologi AI secara bertanggungjawab dan beretika.

“ASEAN kini berada di fasa akhir pelaksanaan Blueprint AEC 2025 dengan kadar kemajuan hampir 90 peratus menjelang Disember ini. Kita juga telah meluluskan Pelan Strategik AEC 2026–2030 yang lebih berfokuskan hasil dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa mesyuarat hari ini mencerminkan komitmen ASEAN terhadap ekonomi serantau yang inklusif, mampan dan berdaya tahan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast