Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh berucap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Elaun sebanyak RM300 untuk guru sekolah berasrama penuh yang turut berperanan sebagai warden asrama dijangka tidak akan dikaji semula dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah elaun berkenaan telah disemak iaitu pada 2021 atau 2022.

“Semakan elaun telah pun dibuat. Mungkin secara spesifik saya boleh maklumkan secara bertulis kepada YB Kuala Krai,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Wong menjawab soalan tambahan Abdul Latif Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai bagaimana kementerian merancang menangani beban tambahan kerja guru berasrama penuh yang dilantik sebagai warden.

Abdul Latif turut ingin tahu sama ada kementerian akan mempertimbangkan melantik kaunselor profesional sepenuh masa atau bekas anggota tentera sebagai warden.

Dalam jawapannya Kah Woh berkata, kementerian telah mengambil beberapa langkah bagi mengurangkan beban tugas guru dan warden.

Katanya, guru yang dilantik sebagai warden asrama diberi beberapa pengecualian, termasuk penglibatan dalam aktiviti kokurikulum yang diminimumkan bagi meringankan beban tanggungjawab mereka dalam sesi persekolahan.

Tambahnya, selain itu, warden turut dikecualikan daripada dilantik sebagai guru kelas dan tidak perlu mengajar pada waktu pertama dalam sesi pembelajaran.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah memperluaskan pelantikan warden asrama kepada semua kakitangan bukan guru Gred 1 dan ke atas di sekolah bawah KPM.

“Pada masa sama, pihak KPM pada 22 Oktober lalu telah pun mengumumkan salah satu inisiatif baharu, iaitu seramai 600 orang pembantu warden asrama sepenuh masa akan dilantik dalam kalangan personel MySTEP.

“Usaha itu bertujuan meningkatkan pemantauan keselamatan dan mengurangkan beban tugas warden sedia ada,” katanya.

Kah Woh berkata, pada tahun hadapan, KPM akan memberikan keutamaan kepada pelaksanaan latihan Psychological First Aid (PFA) menerusi kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Usaha ini juga akan disebarkan melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing. KPM turut memperkukuh pelaksanaan Program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), yang mendedahkan guru kepada ilmu asas psikologi dan kaunseling,” ujarnya.

Menurut beliau, KPM turut melaksanakan program saringan minda sihat bagi memantau tanda awal kesihatan emosi pelajar.

“Segala pemantauan dan kajian keberkesanan pelaksanaan akan dipantau di peringkat KPM dan JPN bagi memastikan guru kita bersedia membimbing dan membantu anak-anak kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast