KUALA LUMPUR – Monash University Malaysia bersama rakan pemaju TRX City, akan membangunkan kampus baharu universiti tersebut di TRX.
Naib Canselor dan Presiden Monash University, Professor Sharon Pickering berkata, nilai pelaburan mencecah RM2.8 bilion.
Projek tersebut dijangka bakal menyumbang sebanyak RM19.1 billion kepada ekonomi negara dalam tempoh 10 tahun yang akan dihasilkan melalui pembangunan infrastruktur, inovasi, tenaga kerja, pelajar, dan jaringan komuniti.
“Kampus di TRX ini merupakan pelaburan terbesar Monash University di rantau Asia Tenggara amnya, dan Malaysia khususnya, dengan fokus terhadap penawaran pengajaran dan penyelidikan bertaraf dunia.
“Ia membuktikan impak dan komitmen kami setelah 27 tahun bertapak di Malaysia dan menghasilkan hampir 200,000 graduan dalam pelbagai bidang, termasuk lebih 11,000 pelajar semasa dari lebih 80 negara yang kini menuntut di Monash University Malaysia,” kata Pickering.
Pengumuman projek itu disaksikan oleh Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir.

Kampus baharu yang serba moden ini dijangka siap pada tahun 2032 dan bakal menampung sehingga 22,500 pelajar, serta disokong oleh 1,700 staf.
Perkembangan pesat Monash University Malaysia ini bakal menyaksikan penawaran program-program pengajaran dan penyelidikan baharu termasuk kesihatan global dan digital, adaptasi perubahan iklim, etika penggunaan AI, dan analitik bisnes dan kewangan.
Selain itu teknologi semikonduktor, pembuatan termaju, keselamatan siber, dan peralihan tenaga, sesuai dengan lokasi di TRX yang merupakan Pusat Kewangan Antarabangsa (IFC).
Ketua Pegawai Eksekutif TRX City, Datuk Seri Azmar Talib berkata, kerjasama dengan Monash University Malaysia bakal menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang negara.
“Perkongsian kami dengan Monash University memperkukuh daya saing dan keterhubungan Malaysia dengan rantau ASEAN melalui pembangunan bakat. Kampus baharu ini akan memperkayakan lagi komuniti pelbagai di TRX dan melahirkan generasi bertaraf global yang seterusnya,” katanya.
Monash University bekerjasama rapat dengan rakan kongsi di seluruh rantau ASEAN termasuk kampusnya di Indonesia, serta Singapura, Kemboja, Thailand, Myanmar, Laos, Vietnam, Filipina, dan Brunei Darussalam; selain menyokong matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP 2030).
Monash juga merupakan sebahagian daripada Rangkaian Kampus Antarabangsa di seluruh Indo-Pasifik dan seterusnya, dengan hampir 60,000 alumni ASEAN dalam komuniti global. – MalaysiaGazette
















