Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Shah Alam, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 09 DISEMBER 2021.

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) bukan sekadar institusi akademik, ia adalah manifestasi kemerdekaan ilmu bangsa Melayu dan bumiputera yang diasaskan dibawah Fasal 153 Perlembagaan Negara.

Akar penubuhannya berpaut pada mula nya RIDA (Rural and Industrial Development Authority) yang lahir pada tahun 1956, saat bangsa ini baru belajar berdiri di atas kaki sendiri. Tujuannya jelas dan luhur, memerdekakan fikiran dan ekonomi bangsa melalui pendidikan, latihan dan keusahawanan.

Apabila RIDA berkembang menjadi ITM dan akhirnya UiTM, roh perjuangan itu tidak pernah mati.

Ia menjadi madrasah kemajuan moden, tempat anak watan menukar kemiskinan menjadi kebijaksanaan dan kekurangan menjadi keupayaan.

UiTM bukan sekadar tempat belajar, ia adalah tapak peradaban tempat bangsa Melayu dan pribumi belajar tentang harga diri dan makna kebebasan yang sebenar.

Sejarah tidak lupa kepada Jasa AllahyarhanmTun Arshad Ayub yg merupakan akitek UITM Tun Arshad Ayub adalah pejuang dan pahlawan bangsa sebenarnya.

Beliau bukan pahlawan retorik dan tiada UITM seperti hari ini tanpa Pak Arshad pahlawan bangsa. Sejuta terima kaseh atas jasa Tun Dr Mahathir Mohamad yang meluluskan kenaikan taraf ITM ke UiTM pada tahun 1999.

Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan bukan anugerah politik tetapi struktur moral negara yang menjamin keseimbangan sosial dan keadilan sejarah.

Ia meletakkan tanggungjawab di bawah Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara hak istimewa orang Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak dalam pendidikan, biasiswa dan perkhidmatan awam.

Peruntukan ini bukan simbol keistimewaan tetapi instrumen redistributive justice, keadilan yang memulihkan bukan menindas.

Selama berabad penjajahan, peluang dan kemajuan disusun secara berat sebelah. Maka Fasal 153 hadir bukan untuk mencipta jurang, tetapi untuk menutup luka sejarah dan membina semula keseimbangan negara bangsa.

UiTM ialah manifestasi paling nyata kepada roh Fasal 153 itu. Ia dibina atas dasar perlembagaan bukan belas kasihan politik tetapi kewajipan kenegaraan. Mempertahankan UiTM bererti mempertahankan jati diri Malaysia itu sendiri.

Saya, Datuk Ibrahim Ali, sebagai mantan Presiden Kesatuan Siswa Institut Teknologi MARA (KSITM) 1972-1974 masih mengingati detik bersejarah 22 April 1974, hari kebangkitan pelajar ITM menuntut taraf universiti.

Ketika itu, ribuan mahasiswa bangkit dalam demonstrasi terbesar dan paling bersejarah. ITM ditutup sebulan, beratus pelajar dirawat di hospital dan beratus lagi didakwa di mahkamah.

KSITM ketika itu mengambil alih pentadbiran ITM selama seminggu sebelum kampus Shah Alam dan Jalan Othman dikepung oleh FRU. Namun perjuangan suci itu tidak sia-sia, kerajaan akhirnya mengiktiraf Diploma ITM setaraf Ijazah Am.

25 tahun kemudian, pada Julai 1999, ITM akhirnya dinaikkan taraf menjadi UiTM oleh Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri atas desakan graduan ITM ketika itu dalam perhimpunan besar-besaran di Stadium Melawati Shah Alam.

Maka, perjuangan ini bukan baru bermula hari ini, ia akar sejarah yang masih hidup dengan semangat dan slogan bumiputra bertindak.

Parti Putra dan saya sebagai bekas Presiden KSITM 1972/1974 berpandangan telah tiba waktunya UiTM dikembalikan kepada dasar asal, menyediakan pendidikan percuma sepenuhnya kepada semua bumiputera tanpa mengira miskin atau kaya di bawah hak keistimewaan melayu Fasal 153 Perlembagaan Negara.

Sudah banyak hak melayu terhakis dan ternoda atas nama berbilang kaum,walhal Msia asalnya Persekutuan Tanah Melayu dan tegak dgn Asas Perlembagaan Negara Fasal 153.

Ini bukan tuntutan populis tetapi pelaksanaan hak perlembagaan. Jika Fasal 153 menjamin keistimewaan pendidikan maka pelaksanaan pendidikan percuma di UiTM adalah roh sebenar kepada janji itu. Ini adalah hak bangsa melayu.

Negara maju seperti Jerman, Korea Selatan dan Jepun telah membuktikan bahawa pendidikan tinggi percuma bukan beban tetapi pelaburan sosial strategik.

Malaysia mampu melaksanakannya jika keberanian politik digerakkan dengan visi bangsa bukan kalkulator pilihan raya.

Sejak penubuhannya, UiTM telah melahirkan lebih 900, 000 graduan bumiputera sebagai jurutera, doktor, akauntan, arkitek, pegawai, usahawan dan pemimpin yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

Setiap sen yang dibelanjakan kepada UiTM ialah pelaburan jangka panjang terhadap kestabilan nasional dan kesejahteraan sosial.

UiTM bukan beban fiskal tetapi kilang peradaban, tempat bangsa Melayu ditempa menjadi pemangkin kemajuan negara. Pendidikan percuma untuk bumiputera bukan diskriminasi tetapi strategi keadilan nasional bagi memastikan tiada bangsa yang kembali dipinggirkan di tanah airnya sendiri.

Oleh itu, isu pendidikan UiTM tidak boleh dilihat sempit hanya untuk kelompok B40 semata-mata. Ia adalah hak Melayu dan bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Sekadar membiayai B40 bukan menunaikan amanah Fasal 153, yang wajib ialah menegakkan hak pendidikan bangsa secara menyeluruh.

Janji pendidikan percuma masih belum dilunaskan oleh kerajaan. Namun dalam konteks UiTM, hal ini bukan lagi janji politik, ia tanggungjawab perlembagaan.

Kerajaan boleh berkompromi dalam hal ekonomi, tetapi tidak boleh berunding dalam hal amanah bangsa. Jika hak kaum lain dalam sektor ekonomi dan budaya dihormati maka hak pendidikan bumiputera yang termaktub dalam Fasal 153 mesti dijunjung dengan keberanian moral dan integriti nasional.

UiTM bukan sekadar universiti, ia adalah benteng ilmu dan mercu maruah bangsa. Mengembalikan UiTM kepada dasar asal dengan pelaksanaan pendidikan percuma bukan tindakan ekonomi; ia perisytiharan maruah bangsa.

Selagi UiTM berdiri, selagi itu roh Fasal 153 bernafas di dada watan. Pendidikan adalah zakat negara kepada pewaris tanah ini, bukan pemberian politik, tetapi tuntutan moral yang menghidupkan semula makna keadilan sebenar.

Maka dengan penuh kesedaran sejarah dan keinsafan bangsa, Parti PUTRA menyeru kerajaan untuk.

(1) Mengembalikan UiTM kepada dasar asal sebagai institusi eksklusif pendidikan bumiputera di bawah payung Fasal 153.

(2) Melaksanakan pendidikan percuma sepenuhnya di UiTM sebagai pelaksanaan sebenar keadilan perlembagaan.

(3) Menjadikan UiTM simbol nasional keadilan sosial berteraskan Perlembagaan, bukan sekadar universiti awam.

(4) Mengiktiraf UiTM sebagai mercu peradaban bangsa, benteng ilmu anak pribumi dan warisan perjuangan yang tidak boleh dipadam oleh masa.

12.Selagi UiTM bernafas, selagi itu Perlembagaan hidup. UiTM bukan sekadar lambang akademik, ia tiang seri negara bangsa. Barang siapa mengusiknya, dia sedang mengusik akar keadilan yang menegakkan Malaysia.

Presiden Parti Putra, Datuk Ibrahim Ali bercakap ketika mengadakan sidang media Isu Black Rock di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Putra, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 22 JUN 2024.
Presiden Parti Putra, Datuk Ibrahim Ali.

Oleh Datuk Dr Ibrahim Ali Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra)                                              Mantan Presiden KSITM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast