Datuk Mahfuz Omar.

 

KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlebih-lebihan menyambut Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, termasuk “berjoget bersamanya dalam satu majlis rasmi baru-baru ini disifatkan sebagai tuduhan murahan yang hanya bertujuan mencetuskan persepsi negatif terhadap kerajaan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, tuduhan tersebut memperlihatkan kejahilan pembangkang dalam memahami seni diplomasi antarabangsa serta kegagalan mereka menghargai usaha perdana menteri mengangkat kedudukan Malaysia di peringkat global.

“Diplomasi bukan tunduk, ia strategi negara berdaulat. PMX tidak tunduk kepada mana-mana kuasa besar tetapi mengangkat Malaysia sebagai rakan setara dalam rundingan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, kehadiran perdana menteri dalam majlis rasmi bersama Trump tidak membawa maksud tunduk kepada kuasa besar, sebaliknya mencerminkan kematangan diplomasi Malaysia yang kini dihormati di peringkat antarabangsa.

“Yang berjoget sebenarnya ialah ekonomi Malaysia yang kembali rancak selepas lama lesu di bawah pentadbiran terdahulu.

“Hasil diplomasi itu turut memberikan manfaat besar kepada ekonomi negara apabila Malaysia menikmati pengecualian tarif terhadap 1,711 jenis barangan eksport bernilai RM22 bilion selain pelaburan dua hala berjumlah AS$150 bilion (RM715 bilion),” tambahnya.

Beliau turut menolak dakwaan kononnya perdana menteri melupakan isu Gaza selepas menjalin hubungan dengan Amerika Syarikat, sebaliknya menegaskan Malaysia kekal antara negara paling lantang membela nasib rakyat Palestin.

“PMX menegaskan pendirian Malaysia menentang pemindahan paksa rakyat Gaza yang disifatkan beliau sebagai jenayah kemanusiaan dan pembersihan etnik. Malah, kerajaan terus menyalurkan bantuan kemanusiaan serta memperkukuh kerjasama dengan NGO antarabangsa,” ujarnya.

Tambah Mahfuz, pendekatan diplomasi Islam Rahmah yang diamalkan perdana menteri membolehkan Malaysia berkawan dengan mana-mana negara tanpa menggadaikan prinsip dan maruah.

“Kerjasama ekonomi dengan Amerika bukan tanda tunduk, tetapi strategi memperkukuh ekonomi rakyat sambil mempertahankan solidariti terhadap Palestin dan dunia Islam,” katanya.

Dalam masa sama, Mahfuz menyindir pembangkang yang disifatkannya lebih gemar mencari isu remeh semata-mata untuk mencipta perhatian di media sosial.

“Ketika dunia memuji langkah Malaysia menarik pelaburan dan memodenkan industri, pembangkang pula sibuk menilai gerak tangan dan langkah kaki PMX di majlis antarabangsa.

“Inilah beza antara pemimpin yang bekerja untuk rakyat dengan ahli politik yang bekerja untuk klip TikTok.

“PMX tidak menari untuk kuasa besar, tetapi beliau menari di pentas diplomasi dunia dengan langkah penuh keyakinan membawa nama Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast