Fairul Nizam Roslan

MELAKA – Rakyat Melaka ‘menyumbang’ lebih RM20 juta dalam tempoh dua minggu pertama bulan Oktober susulan peningkatan mendadak kes jenayah siber di seluruh negeri.

Peningkatan ketara itu sebanyak RM20.7 juta itu adalah hasil perbandingan berbanding nilai RM47.3 juta yang dicatatkan sehingga akhir September itu.

Ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan ‘sumbangan’ tahun ini mencecah RM68 juta kepada aktiviti penipuan dalam talian berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, secara keseluruhan sebanyak 2,294 kes jenayah siber direkodkan di Melaka dari 1 Januari hingga 14 Oktober tahun ini.

“Kesemua penipuan ini melibatkan pelbagai taktik seperti ‘phishing’, panggilan palsu, pelaburan tidak wujud, pinjaman atas talian dan penyamaran sebagai pegawai bank atau agensi kerajaan.

“Ini bukan lagi isu terpencil, tetapi fenomena sosial dan ekonomi yang serius serta memerlukan tindakan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Bersama Komuniti (HBK) Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di Balai Raya Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal, semalam.

Mengikut pecahan daerah bagi tempoh Januari hingga September, Melaka Tengah merekodkan jumlah tertinggi dengan 834 kes dan kerugian RM32.8 juta.

Ia diikuti Alor Gajah sebanyak 330 kes dengan nilai kerugiaan RM9.7 juta serta Jasin mencatat 205 kes (RM4.6 juta) menjadikan tiga daerah itu mencatatkan 1,369 kes dengan nilai kerugian lebih RM47.3 juta.

“Dalam era digital kini, jenayah siber semakin canggih dan sukar dikesan sebab itu saya menyeru masyarakat agar lebih cakna, berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran dalam talian

“Majoriti mangsa terdiri daripada mereka berusia 40 tahun ke atas, dan kerajaan negeri sedang mempergiatkan kempen kesedaran penggunaan teknologi secara selamat dan beretika bagi mengekang ancaman siber yang semakin kompleks,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast