Anggota bomba memadam kebakaran pada kereta jenis Toyota Camry

ALOR GAJAH – Tiga lelaki warga Myanmar parah, manakala empat lagi cedera ringan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki merempuh sebuah kereta di Kilometer 220 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan yang tiba-tiba berhenti di lorong kanan, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 malam itu, kereta jenis Toyota Camry yang dipandu seorang lelaki tempatan dikatakan tiba-tiba mengalami kerosakan enjin dan terhenti di lorong kanan sebelum dirempuh sebuah Toyota Avanza dari belakang.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba, Tc Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.09 malam dan sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera FRT serta unit EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan di lokasi, didapati kebakaran melibatkan kereta Toyota Camry dengan kemusnahan dianggarkan 80 peratus namun pemandunya selamat.

“Bagaimanapun, tujuh warga Myanmar yang menaiki MPV berkenaan cedera termasuk tiga parah dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Anggota bomba membantu memberi rawatan awal kepada mangsa.

Beliau berkata, pasukan bomba menjalankan kerja pemadaman kebakaran serta memberi rawatan awal kepada mangsa yang mengalami kecederaan.

“Kesemua mereka berusia 19 hingga 30-an kemudian dihantar ke hospital berhampiran menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan unit EMRS,” katanya.

Zulkhairani berkata, operasi pemadaman dan penyelamatan selesai sepenuhnya pada jam 10.19 malam sebelum lokasi diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast