KUALA LUMPUR – Bilangan jawatan di Malaysia pada suku ketiga (ST3) 2025 dengan rekod baharu sebanyak 9.16 juta jawatan, meningkat sebanyak 1.7 peratus tahun ke tahun.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahiddin berkata, sektor ekonomi di Malaysia terus menunjukkan momentum pertumbuhan yang menggalakkan pada suku tahun ini seiring dengan peralihan pesat dalam penggunaan teknologi.

Situasi ini disokong oleh peningkatan yang konsisten dalam bilangan jawatan dengan sejumlah 9.16 juta jawatan direkodkan pada ST3 2025, meningkat sebanyak 1.7 peratus tahun ke tahun atau bersamaan dengan pertambahan 151,100 jawatan dari suku sama tahun sebelumnya.

Sebanyak 97.8 peratus daripada jumlah jawatan telah diisi, manakala 2.2 peratus masih kosong.

Menurutnya, bilangan jawatan diisi terus menunjukkan pertumbuhan pada suku tahun ini, meningkat sebanyak 1.7 peratus tahun ke tahun dengan
merekodkan 8.97 juta jawatan diisi (ST3 2024: 8.82 juta).

Semua sektor ekonomi mencatatkan pertumbuhan positif tahun ke tahun dengan sektor perkhidmatan kekal sebagai pemacu utama, mencatatkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 2.4 peratus.

Berdasarkan aktiviti ekonomi, jawatan diisi tertumpu dalam sektor perkhidmatan, merangkumi 53.1 peratus atau 4.76 juta jawatan diisi, diikuti dengan pembuatan (26.9%; 2.41 juta) dan Pembinaan (13.9%; 1.25 juta).

Mengikut kategori kemahiran, majoriti jawatan diisi adalah di kategori separuh mahir dengan 62.5 peratus (5.60 juta).

Kategori mahir menyusul dengan 25.2 peratus (2.26 juta) manakala berkemahiran rendah mempunyai peratusan terendah iaitu 12.3 peratus atau 1.11 juta jawatan diisi.

Mengulas lanjut kenyataanya, Mohd Uzir berkata, kekosongan jawatan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.8 peratus tahun ke tahun pada suku tahun ini
atau bersamaan dengan pertambahan 5,300 kekosongan berbanding ST3 2024 (191.8 ribu), merekodkan sejumlah 197,100 kekosongan.

Sektor pembuatan kekal dominan dengan bilangan kekosongan tertinggi iaitu sebanyak 114.7 ribu kekosongan (58.2%), terutamanya dalam subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal (35,400) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (19,800).

Selain itu, sektor pertanian dan pembinaan masing-masing mencatatkan 32,000 (16.2%) dan 25,200 (12.8%) kekosongan.

Analisis berdasarkan kategori kemahiran, kategori separuh mahir merupakan penyumbang terbesar dengan 56.4 peratus (111,200). Manakala, kategori mahir dan berkemahiran rendah masing-masing menyumbang 24.5 peratus (48,200) dan 19.1 peratus (37.6 ribu).

Beralih kepada prestasi pewujudan jawatan, sejumlah 32,300 ribu jawatan telah diwujudkan, meningkat daripada 31,800 pada suku sama tahun lepas, merekodkan pertumbuhan sebanyak 1.6 peratus tahun ke tahun.

Kemunculan kecerdasan buatan (AI) dan automasi dalam industri utama khususnya dalam sektor perkhidmatan telah mengubah landskap peluang pekerjaan di Malaysia, dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berorientasikan teknologi manakala pekerjaan rutin dan manual semakin berkurangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast