KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas Ustazah Asma’ Harun tampil menegur kumpulan pop sensasi, Dolla susulan video muzik terbaharu mereka yang disifatkan semakin melampau dan keterlaluan.
Asma’ berharap kumpulan wanita itu berubah lebih sopan dan bermaruah dan bukannya memaparkan wajah seni hiburan negara sebegitu.
“Semakin lama semakin parah. Terlalu terbuka, terlalu ghairah, sangat memalukan,” tulisnya di Facebook miliknya di sini.
Asma’ menegaskan, apa dipertontonkan bukan lagi sebuah persembahan seni sebaliknya sudah berada pada tahap hentakan visual seperti pertunjukan tidak bermoral.
“Ini bukan seni hiburan. Ini sudah menyerupai persembahan kelam seakan-akan kelab malam tetapi dilakukan secara terang atas nama seni.
“Pakaian ketat melekat, singkat, terlalu terbuka, dengan gerakan mengiurkan dijual sebagai seni. Paling menyedihkan, salah seorang anggotanya wanita Islam,” luahnya.
Asma’ juga mengingatkan sama ada Islam atau tidak, setiap artis membawa nama Malaysia yang berpegang pada Rukun Negara kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan.
Katanya, budaya hiburan yang terlalu bebas semakin berbahaya apabila masyarakat mula menganggapnya normal.
“Bagi saya, videonya amat tidak bermoral. Memalukan wanita Islam dan mencalar identiti negara. Lebih perit, ada pula yang memuji dan berbangga
“Ini bahaya apabila maksiat dianggap trend. Apa salah dianggap biasa. Apa mencolok mata dikata ‘artistik’,” tegasnya.
Dalam nota terakhir berbentuk nasihat, dia menekankan tegurannya bukan serangan, sebaliknya satu usaha menyedarkan masyarakat.
“Ini bukan kempen benci. Ini kempen sedarkan diri. Kalau budaya salah berhenti disokong, budaya itu akan mati. Kalau budaya berubah, masyarakat akan ikut berubah.
“Semoga Allah memelihara Malaysia daripada hilangnya rasa malu dan mengembalikan kita kepada hiburan yang sopan, terdidik serta diberkati,” jelasnya.
Terdahulu, penampilan Dolla sering menjadi perbualan hangat kerana persembahan seksi dan gaya pentas agresif yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat serta pemerhati seni tanah air. – MalaysiaGazette
















