KUALA LUMPUR – Sebahagian besar operasi menggempur kartel dadah antarabangsa telah lama dijalankan secara senyap tanpa pengetahuan umum bagi mengelak sindiket itu mengubah taktik daripada dikesan pihak berkuasa.
Menjelaaskan mengenai mengenai perkara itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, operasi sulit, perkongsian risikan masa nyata serta kerjasama rentas sempadan secara tertutup menjadi tunjang utama dalam usaha Malaysia memerangi penyeludupan dadah meskipun hanya sebahagian kecil daripadanya didedahkan kepada umum.
“Kebanyakan operasi melibatkan kartel dilakukan di balik tabir. Kita tidak menghebahkan usaha ini kerana apabila kita berbuat demikian, sindiket akan menaik taraf modus operandi mereka dan menyukarkan kita menjejaki mereka,” katanya selepas melawat Pusat Autisme di Pusat Latihan Polis (Pulapol) hari ini.
Mengulas mengenai kerjasama risikan antarabangsa, Razarudin berkata, Malaysia telah lama menjalinkan kolaborasi mendalam dengan Australia melalui Task Force Tiger selain New Zealand, Korea Selatan dan Indonesia sebelum pendedahan mutakhir yang menarik perhatian umum terhadap kegiatan kartel.
“Kita sudah ada perjanjian dengan Australia sewaktu saya menjadi KPN. Task Force Tiger sudah wujud sejak bertahun-tahun,” katanya sambil menambah pemantauan terhadap pengedar dari negara-negara tersebut dilakukan secara berterusan.
Beliau mendedahkan, banyak rampasan bernilai tinggi, termasuk yang hampir mencecah RM1 bilion adalah hasil kerjasama senyap antara agensi penguatkuasaan Malaysia dan rakan antarabangsa.
Menjawab dakwaan penembusan kartel berlaku sejak dua dekad lalu tanpa tindakan, Razarudin menegaskan, operasi sentiasa dijalankan tetapi tidak diumumkan demi menjaga integriti siasatan.
“Bukan tidak ada apa-apa selama 20 tahun. Tangkapan dibuat sejak sebelum zaman saya tetapi, pengarah atau KPN sebelum ini memilih untuk tidak bercakap secara terbuka…mereka tidak mahu mendedahkan operasi ini kepada umum,” ujarnya.
Katanya, banyak tangkapan direndahkan profilnya bagi melindungi operasi serantau yang sedang berlangsung ketika itu.
Dalam pada itu, Razarudin menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa kerana kartel dadah bergerak secara fleksibel merentasi sempadan, menggunakan Malaysia sebagai transit atau destinasi.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan beliau mengambil tindakan tegas terhadap sebuah sindiket dadah besar yang beroperasi selama 20 tahun sebaik memegang jawatan.
Anwar berkata, beliau menunggu selama setahun tetapi tidak menerima laporan tentang aktiviti kartel yang membawa masuk dadah menggunakan kontena sebelum membangkitkan isu berkenaan kepada agensi terlibat selepas ia menjadi bualan umum.
Menurut Anwar, beliau segera melaksanakan beberapa langkah susulan termasuk mengadakan mesyuarat mingguan dengan ketua-ketua agensi keselamatan.
Beliau turut mendedahkan siasatan mendapati, wujud pembabitan sindiket dan ahli politik dalam kegiatan penyeludupan dadah berkenaan. – MalaysiaGazette
















