KUALA LUMPUR – Lima lelaki tempatan ditahan polis susulan kejadian rusuhan yang tular di media sosial membabitkan serangan ke atas dua mangsa di hadapan Anti Sober Bar & Bistro, Jalan Duku, Kluang, Johor.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata kejadian itu berlaku pada 16 November sekitar 1.30 pagi selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa.
Dua lelaki berusia 22 hingga 26 tahun dilaporkan diserang oleh beberapa individu tidak dikenali ketika berada di lokasi berkenaan.
Sejurus itu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menahan lima suspek berusia antara 27 hingga 37 tahun pada hari sama kira-kira 10 malam, katanya.
“Semakan rekod lampau mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah manakala dua lagi tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan.” katanya dalam kenyataan hari ini
Menurutnya, ujian air kencing terhadap semua suspek turut didapati negatif.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kluang atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















