MELAKA – Polis sedang mengesan seorang remaja perempuan 15 tahun berpenampilan kepala botak yang dilaporkan hilang sejak dua minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, remaja ketinggian kira-kira 161 sentimeter, berat sekitar 50 kilogram dan berbadan kurus itu dikenali Nur Qasehku Suhaimi Abdul Rahman.
Menurutnya, remaja itu telah dilaporkan hilang oleh keluarganya pada pagi 4 November lalu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Minyak di sini pada jam 11.08 pagi.
“Difahamkan kali terakhir Orang Hilang (OH) dilihat di hadapan kedai 7-Eleven, Jalan Seri Krubong 2, di sini.
“Ketika itu, remaja tersebut dilaporkan memakai baju T dan seluar berwarna hitam serta mempunyai penampilan berkepala botak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, usaha mengesan mangsa sejak 14 hari lalu sedang giat dijalankan dan memohoon kerjasama orang awam bagi mempercepatkan proses pencarian.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan remaja ini diminta untuk segera menghubungi Inspektor T. Veramuthu di talian 013-4574988 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















