Tangkap layar kenyataan dikeluarkan Pengerusi Silat Gerak Tok Anjang Masaga, Rashidi Bahari di ruangan komen yang disahkan benar dan boleh digunakan media.

MELAKA – Pengerusi Silat Gerak Tok Anjang Masaga, Rashidi Bahari mengesahkan pekerjaan ‘guru silat’ yang digunakan media dalam laporan mereka baru-baru ini terhadap orang kena tuduh (OKT) di mahkamah adalah benar.

Menurutnya, beliau terpaksa mencelah untuk memberi penerangan berkenaan kes itu yang dilaporkan media ketika perintah reman 5 November lalu dan pertuduhan 14 November lalu yang menggunakan perkataan ‘guru silat’ sebagai pekerjaan OKT.

Jelasnya, OKT yang berdepan pertuduhan dakwaan ‘salah laku’ atau cabul ke atas pelatih silat adalah individu yang turut bersamanya dalam gelanggang silat di Melaka.

“Izinkan saya mencelah dan memberi penerangan berkaitan isu ini sebagai Pengerusi Silat Gerak Tok Anjang Masaga.

“Berhubung kait dengan orang kene tuduh (OKT), adalah merupakan jurulatih silat. Itu adalah KEBENARAN dan kes ini
atas dakwaan ‘salahlaku’ atau cabul ke atas pelatih silat,” katanya.

Tangkap layar kenyataan dikeluarkan Pengerusi Silat Gerak Tok Anjang Masaga, Rashidi Bahari di ruangan komen yang disahkan benar dan boleh digunakan media.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan dikeluarkan menerusi ruang komen di Facebook Melaka Explorer selain turut dihubungi wartawan untuk mengesahkan jawatan dan kenyataannya itu.

Namun jelasnya, sama ada OKT bersalah atau tidak, hanya mahkamah menentukan termasuk sama ada jika terdapat unsur-unsur firnah atau beliau benar-benar melakukan kesalahan yang tidak diketahui masyarakat.

“Ya, kes ini telah mencemarkan nama baik pengamal persilatan dan saya amat-amat kesali bak kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

“Saya juga ingin memaklumkan di sini, persilatan kami telah ditutup serta merta berikutan kes ini dan pihak media massa hanya menjalankan tugas mereka dalam menyampaikan maklumat,” katanya.

Pada 5 November lalu, MalaysiaGazette melaporkan seorang guru silat lelaki direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Melaka kerana disyaki mencabul seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Taman Telok Mas, di sini, September lalu.

Pada 14 November lalu, tertuduh, Yusof Omar, 44, dihadapkan ke ke Mahkamah Sesyen Melaka, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap dua remaja perempuan yang juga anak didiknya berusia 14 dan 15 tahun di rumahnya pada September dan Oktober lalu.

Hampir kesemua 13 laporan media menggunakan perkataan guru silat yang disebut di dalam mahkamah setelah diakui sendiri OKT pekerjaannya itu melalui peguam dalam dua prosiding berasingan

Penggunaan ‘guru silat’ bagaimananapun mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan beberapa individu dalam bidang persilatan sehingga terdapat beberapa komen di media sosial yang berunsur ugutan, serangan peribadi, fitnah serta doxxing terhadap wartawan.

Susulan itu, wartawan MalaysiaGazette dan Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) menerusi Penolong Setiausahaya, Mohd Hamzatulakmar Md Zakaria membuat laporan di Balai Polis Bukit Baru, di sini. Hadir sama, Pengerusi PENDIKA, Amir Mamat.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar turut mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast