Sumber: DOSM

KUALA LUMPUR – Produktiviti buruh per jam bekerja tumbuh 3.8 peratus pada suku tahun ketiga (S3)2025, mencatatkan RM45.1 setiap jam.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, ekonomi Malaysia meningkat 5.2 peratus pada suku tahun ketiga 2025, berbanding 4.4 peratus pada suku sebelumnya.

Manakala jumlah jam bekerja meningkat sebanyak 1.3 peratus kepada 9.8 bilion jam (ST2 2025: 1.0%; 9.7 bilion jam).

Menurutnya, jumlah pekerja pada suku tahun ketiga 2025 meningkat kepada 17.0 juta orang, pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 1.5 peratus (ST2: 16.7 juta orang; 1.6%).

Produktiviti buruh per pekerja meningkat 3.6 peratus untuk merekodkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM26,052 seorang (ST2 2025: 2.8%; RM24,893 seorang).

“Produktiviti buruh Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk prospek yang berdaya tahan dan positif, dengan pertumbuhan direkodkan dalam semua sektor ekonomi, didorong  keadaan ekonomi yang stabil dan pembaharuan pasaran buruh.

“Justeru, strategi dalam pembangunan modal insan harus diperkukuh dengan pelaburan berterusan dalam transformasi digital, komunikasi dan analitik, berikutan peningkatan produktiviti masa depan banyak bergantung pada pembangunan kemahiran dan penggunaan teknologi,” katanya hari ini.

Beliau menambah, prestasi sektoral bagi produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah per jam bekerja pada suku ini didorong oleh pertumbuhan dalam semua sektor, diterajui oleh sektor pembinaan 10.2 peratus (ST2 2025: 9.3%), diikuti oleh perlombongan dan pengkuarian 9.7 peratus (ST2 2025: -5.1%), pembuatan 4.2 peratus (ST2 2025: 3.7%), perkhidmatan 2.9 peratus (ST2 2025: 3.6%) dan pertanian 1.3 peratus (ST2 2025: 3.9%).

Prestasi produktiviti buruh per jam bekerja untuk sektor perkhidmatan pada suku tahun ketiga 2025 disebabkan oleh peningkatan bagi semua subsektor, kecuali kewangan dan insurans (-2.4%) dan Utiliti (-0.03%).

Perkhidmatan lain memacu prestasi keseluruhan dengan mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus, diikuti hartanah dan perkhidmatan perniagaan (5.5%), makanan & minuman dan penginapan (5.4%), pengangkutan dan penyimpanan (3.6%), perdagangan borong dan runcit (3.4%) dan maklumat dan komunikasi (2.0%).

Dalam pada itu, sektor pembuatan menunjukkan pertumbuhan dalam produktiviti buruh per jam bekerja bagi semua subsektornya, kecuali produk tekstil, pakaian dan kulit (-0.8%).

Peningkatan ketara dicatatkan oleh minyak dan lemak daripada sayuran & haiwan dan prosesan makanan (9.4%), produk elektrik, elektronik dan optikal (6.6%), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (4.0%), minuman dan produk tembakau (2.6%), produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (2.0%), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (1.3%) dan peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan (0.5%).

Dalam konteks produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah per pekerja, sektor yang berbeza menunjukkan tahap peningkatan produktiviti yang bervariasi pada suku ini.

Sektor pembinaan memacu prestasi keseluruhan dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 10.8 peratus (ST2 2025: 11.0%), diikuti oleh perlombongan dan pengkuarian 8.9 peratus (ST2 2025: -5.8%), pembuatan 3.5 peratus (ST2 2025: 2.8%), perkhidmatan 2.8 peratus (ST2 2025: 2.9%) dan pertanian 0.5 peratus (ST2 2025: 2.7%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast