KOTA KINABALU – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N30 Bongawan, Ridzuan Firdaus memberi jaminan untuk menangani isu asas yang menjadi kebimbangan rakyat selama ini.
Antara isu-isu tersebut termasuklah pendidikan, pengurusan khairat kematian dan kelembapan pembangunan setempat.
“Penduduk Bongawan sudah lama menantikan pembaharuan ketara terutamanya di sebalik isu kualiti hidup yang statik.
“Dalam isu pendidikan, beberapa keperluan segera perlu diberikan penekanan seperti inisiatif pembelajaran tambahan yang merangkumi bidang akademik dan sukan.
“Langkah ini dirangka sebagai usaha mengurangkan jurang pendidikan antara pelajar bandar dan luar bandar, di samping membantu keluarga berpendapatan rendah menyediakan sokongan yang lebih baik untuk anak-anak mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga yakin pelaburan dalam pendidikan adalah asas kepada pembentukan generasi masa depan Bongawan yang lebih berdaya saing dan yakin diri.
“Program seperti ini akan menyediakan bimbingan tersusun serta peluang sukan untuk meningkatkan pencapaian secara konsisten.
“Ini untuk generasi akan datang dan pendidikan adalah asas kehidupan,” katanya.
Dalam pada itu, Ridzuan turut memberi perhatian serius kepada aduan penduduk mengenai pengurusan skim khairat kematian di masjid dan surau.
“Mereka sangat berharap agar proses penambahbaikan dapat dipermudah dan wujud penyelarasan antara masjid dan surau bagi keseragaman pelaksanaan skim ini.
“Ia penting untuk membantu keluarga yang berhadapan situasi kecemasan dengan lebih efektif,” katanya.
Jelasnya lagi, dalam isu pembangunan fizikal pula, penduduk Bongawan bimbang kerana tiada pembaharuan ketara, meskipun kemudahan asas seperti jalan raya, sistem perparitan, pencahayaan awam, dan ruang komuniti adalah elemen penting dalam kualiti hidup.
“Ketiadaan perkembangan baharu dalam jangka masa panjang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk mengenai kesan terhadap keselamatan, ekonomi setempat dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
“Saya memberi jaminan pembangunan setempat yang progresif, pendidikan berkualiti, dan sistem khairat kematian yang teratur adalah tiga elemen penting dalam membentuk komuniti yang harmoni dan berdaya maju,” katanya.
Ridzuan juga berharap pihak-pihak berkaitan untuk meneliti keperluan masyarakat bagi memastikan kesejahteraan penduduk Bongawan terpelihara.- MalaysiaGazette















