MELAKA – Kajian dan proses ekskavasi penemuan kapal purba pada abad ke-13 di Pulau Melaka dijangka mengambil masa sehingga lima tahun dan memerlukan peruntukan dana agak besar.
Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Erne Hamsah berkata, ia kerana serpihan kayu kapal yang ditemui di kawasan yang satu ketika dahulu menjadi pusat maritim Melaka itu memerlukan kajian mendalam serta penglibatan pakar arkeologi dari dalam dan luar negara.
“Kita juga menjangkakan akan ada lebih banyak penemuan artifak sampingan seperti duit syiling dan porselin selepas ini, sebab itu tempoh proses ini bukan satu atau dua tahun tetapi mungkin mencecah lima tahun atau lebih.
“Untuk itu, kita sangat mengharapkan kerajaan negeri menerusi peruntukan belanjawan akan datang dapat menyediakan satu dana yang agak besar termasuk bagi proses menaiknya bagi tujuan kajian dan dokumentasi,” katanya.
Erne berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 Muzium Sastera Melaka serta Peluncuran Katalog Manuskrip Melayu di Bukit Melaka, Banda Hilir hari ini yang dirasmikan Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan.

Mengulas lanjut, Erne berkata, keperluan dana besar bukan sahaja melibatkan kerja ekskavasi tetapi juga usaha pemuliharaan 21 bangunan muzium yang berada di bawah seliaan Perzim.
“Dua tahun sebelum ini, kita menerima sekitar RM50 juta dan kita berharap sekurang-kurangnya jumlah yang sama dapat diperuntukkan pada tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Zaidi berkata, kerajaan negeri sedang menyusun strategi terbaik dalam belanjawan akan datang bagi memaksimumkan sumber sektor pelancongan untuk pengukuhan ekonomi Melaka.
Langkah itu turut meliputi kerja pemuliharaan bangunan bersejarah serta pengukuhan pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan yang terbukti mengurangkan kerosakan struktur terutama di kawasan Bangunan Merah akibat gegaran daripada jumlah kenderaan yang tinggi.
“Melalui bajet yang ada nanti, saya percaya ia akan memastikan peningkatan jumlah pelancong dan pada masa sama membolehkan kerja pemuliharaan dilakukan secara berskala.
“Monumen berusia ratusan tahun ini adalah imej Melaka dan sudah tentu penting untuk kita pelihara demi generasi akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette
















