KUALA LUMPUR – Jasad lelaki yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma pada Isnin lalu ditemukan di perangkap sampah Sungai Kandis Shah Alam, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam yang mengesahkan perkara itu berkata, mayat lelaki tempatan itu ditemukan kira-kira jam 10.30 pagi tadi.
“Kita akan mengadakan satu sidang media untuk butiran lanjut berhubung penemuan mayat terbabit.
“Mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Shah Alam bagi proses bedah siasat,” katanya ringkas.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Kebangsaan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) memaklumkan, pihaknya menemui mayat lelaki berusia 37 tahun jam 11.10 pagi.
“Mayat mangsa dijumpai berdekatan kawasan perangkap sampah di Sungai Kandis, Seksyen 36, Shah Alam.
“Anggota kemudian segera mengangkat mayat dari kawasan tersebut dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, seramai enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bersama sebuah jentera, LFRT dan EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian pada jarak kira-kira 13 kilometer.
Isnin lalu seorang lelaki yang sedang melakukan kerja penambahbaikan Sungai Klang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma, kira-kira 5.40 petang.
Ketika kejadian terdapat 13 pekerja sedang bertugas di lokasi berkenaan dan 12 daripada mereka berjaya diselamatkan.
Mereka terdiri daripada tujuh warga Indonesia, Bangladesh (empat) dan seorang warga tempatan. – MalaysiaGazette
















