MELAKA – Pasaran perumahan di Melaka menunjukkan trend paling stabil dalam negara apabila hanya 1,621 unit kediaman tidak terjual bernilai RM724.28 juta, jauh lebih rendah berbanding negeri lain.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, rekod dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) itu sekali gus mencerminkan pasaran rumah yang kukuh serta mampan di negeri tersebut.
“Ini menggambarkan pasaran perumahan di negeri ini lebih kukuh, seimbang dan mampan, serta berada pada kedudukan yang stabil untuk terus berkembang.
“Namun, kediaman tidak terjual ini perlu dijadikan rujukan utama oleh semua pihak berkepentingan, khususnya pemaju dan agensi berkaitan dalam merangka strategi pembangunan perumahan yang lebih berdaya saing dan benar-benar memenuhi keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Ekspo Rumah Mampu Milik (RMM) Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkifle Mohd Zain.
Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, Melaka menyasarkan kadar pemilikan rumah meningkat kepada 88 peratus yang mana sekurang- kurangnya 4,191 unit rumah perlu dibina setiap tahun untuk mencapai sasaran itu.
“Sehingga Oktober lalu, pelaksanaan inisiatif ini berjaya melangkaui sasaran dengan merekodkan 56,794 unit RMM dirancang di seluruh negeri.
“Daripada jumlah ini, 16,004 unit telah siap, 19,545 unit dalam pembinaan dan 21,245 unit dalam perancangan,” katanya. – MalaysiaGazette
















