MELAKA – Pegawai-Pegawai Bersekutu Korporat (PPBK) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi mengaktifkan misi kemanusiaan sepanjang musim Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga Mac tahun depan.
Pengerusinya, Kol. Bersekutu (PA) Mike Thein berkata, pihaknya sedang mempersiapkan bantuan makanan dan barangan keperluan asas untuk diagihkan kepada mangsa banjir di seluruh negeri.
“Kami sudah bersedia menghulurkan bantuan di luar Melaka sekiranya diperlukan pada bila-bila masa. Pegawai-pegawai korporat APM Melaka yang terdiri daripada ahli perniagaan serta wakil komuniti juga bersedia menyumbang secara peribadi bagi melancarkan misi kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima sumbangan berjumlah RM10,000 daripada Konica Minolta Business Technology sempena program Long Service Award syarikat itu di sini hari ini
Sumbangan tersebut disampaikan Pengarah Pengurusan Konica Minolta Business Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, Naoto Uryu dan turut disaksikan Timbalan Pengarah APM Melaka, Mejar (PA) Nor Farhani Mat Husin.
Mengulas lanjut, Thein berkata, dana berkenaan akan dimanfaatkan bagi meningkatkan kompetensi PPBK seiring usaha memperkukuh program kesiapsiagaan awam serta memperluas inisiatif keselamatan komuniti.
“Kami juga telah memberi latihan kepada pegawai kami meliputi teknik menyelamat di air. Ini termasuklah penggunaan peralatan komunikasi ketika krisis, penyelenggaraan enjin dan navigasi bot, selain kemahiran asas menyelamat nyawa,” katanya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Pengarah APM Melaka, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim atas bimbingan dan sokongan strategik yang telah memperkukuhkan peranan mereka dalam masyarakat.
“Kami juga menghargai sumbangan Konica Minolta Business Technology atas komitmen berterusan mereka melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette
















