KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menggerakkan beberapa pasukan bencana ke negeri yang menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya turut menempatkan pasukan di negeri yang tidak terlibat secara langsung dalam bencana itu.
“Sebagai contoh, di Perlis, kita telah menggerakkan JPJ Kedah untuk membantu membawa aset seperti lori bagi tujuan menghantar bantuan kepada rakyat yang terjejas.
“Kita turut membantu pelajar sekolah yang terkandas akibat air naik untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas pada Majlis Apresiasi Media JPJ 2025 di Putrajaya, malam tadi.
Tambah beliau, walaupun JPJ bukan agensi utama dalam operasi menyelamat, jabatan itu berperanan sebagai pasukan sokongan kepada agensi berkaitan dalam misi kemanusiaan semasa bencana.
Sementara itu, dalam ucapannya, Aedly Fadly berkata, peranan media amat signifikan dalam mengukuhkan imej jabatan serta memastikan setiap dasar dan inisiatif disampaikan secara tepat kepada rakyat.
Katanya, tanpa sokongan media, jabatan itu tidak mampu berdiri sendiri dalam menangani pelbagai isu, membina kefahaman masyarakat dan meningkatkan keselamatan jalan raya.
“Berdasarkan pemantauan laporan dan liputan media terhadap program serta operasi jabatan tidak kurang daripada 10 laporan setiap bulan, malah sering melebihi angka tersebut,” ujarnya.
Tambah Aedy Fadly, program julung kali itu menghimpunkan hampir 300 wakil daripada pelbagai organisasi media seluruh negara. – MalaysiaGazette
















