Kenderaan mangsa jenis Proton X50 musnah dipercayai dibakar menggunakan objek bernyala yang dilemparkan ke halaman rumahnya di Bukit Cina, Melaka kira-kira jam 1.45 pagi 11 November lalu.

MELAKA – Polis menahan sepasang kekasih yang dipercayai diupah sindiket along untuk melakukan khianat api dengan membakar kenderaan pelanggannya, dua minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek lelaki berusia 36 tahun dan kekasihnya, 26, ditahan dalam operasi khas di Kajang dan Serdang, Selangor, Isnin lalu.

Menurutnya, tangkapan dibuat susulan polis menerima laporan kenderaan mangsa jenis Proton X50 dibakar menggunakan objek bernyala yang dilemparkan ke halaman rumahnya di Bukit Cina, di sini, pada kira-kira jam 1.45 pagi 11 November lalu.

Kenderaan mangsa jenis Proton X50 musnah dipercayai dibakar menggunakan objek bernyala yang dilemparkan ke halaman rumahnya di Bukit Cina, Melaka kira-kira jam 1.45 pagi 11 November lalu.

“Hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki turun dari sebuah kenderaan sebelum melontarkan objek bernyala ke arah halaman rumah mangsa menyebbakan Proton X50 milik pengadu terbakar.

“Kita percaya motif kejadian berkait kegiatan kutipan hutang oleh along, dan pasangan ini diupah sehingga RM1,500 untuk melakukan khianat api tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Christopher berkata, dalam tangkapan kedua-dua suspek kira-kira jam 8.30 malam Isnin lalu di Kajang dan Serdang, Selangor , polis turut merampas kenderaan serta pakaian yang digunakan ketika kejadian.

“Siasatan juga mendapati, pasangan berkenaan sebelum ini terlibat dalam sekurang-kurangnya tiga kes khianat api dan satu kes simbah cat di sekitar Melaka Tengah sejak Julai lalu.

“Pasangan ini menerima upah daripada sindiket along antara RM1,000 hingga RM1,500 untuk melakukan jenayah bakar manakala RM300 hingga RM500 untuk simbah cat, “tambahnya.

Kedua-dua suspek kini direman sehingga 2 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast