JASIN – Seorang pensyarah kerugian hampir RM1 juta selepas ditipu sindiket pelaburan saham tidak wujud untuk mengaut keuntungan dalam masa dua hingga tiga minit pada September dan Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Pemangku Superintenden Lee Robert berkata, wanita berusia 40 tahun yang sudah berkahwin
itu membuat laporan mengenai kejadian itu pada Ahad lalu setelah menyedari diperdaya.
Menurutnya, kejadian bermula pada 28 Julai lalu, mangsa berminat dengan tawaran belajar urus niaga saham melalui aplikasi Moo Moo yang diiklankan di Instagram sebelum menekan pautan palsu yang diberikan untuk pendaftaran.
“Walaupun aplikasi Moo Moo adalah aplikasi sebenar, suspek menghantar pautan lain bagi memperdayakan mangsa dan mengarahkannya berhubung melalui WhatsApp.
“Suspek kemudiannya menjanjikan pulangan keuntungan dalam tempoh dua hingga lima minit, menyebabkan mangsa menggunakan wang simpanan, pinjaman bank dan duit ahli keluarga keseluruhannya berjumlah RM914,758.82 untuk melabur,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, pembayaran dibuat bermula 1 September hingga 18 Oktober melalui 20 transaksi ke sembilan akaun bank berlainan seperti diarahkan suspek.
Lee berkata, cubaan terakhir suspek adalah meminta bayaran tambahan RM20,000 sebagai ‘yuran suku tahun’ sebelum keuntungan boleh dikeluarkan, namun mangsa mula berasa curiga sebelum tampil membuat laporan.
“Polis kini sedang menyiasat kesemua sembilan akaun bank terbabit bagi mengenal pasti pemilik dan rangkaian sindiket berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan skim pelaburan yang menawarkan pulangan luar biasa.
“Semak dahulu nombor akaun, nombor telefon atau syarikat yang meragukan melalui portal Semak Mule dan penggunaan akaun persendirian untuk pelaburan juga merupakan ‘red flag’ (tanda amaran) yang meragukan.
“Hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dalam tempoh 24 jam jika menjadi mangsa supaya peluang menyekat transaksi lebih tinggi,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















