KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa pemberian wang undi yang juga disebut sebagai ‘bom’ pada hari-hari terakhir kempen masih berlaku secara terbuka dalam setiap pilihan raya termasuk ketika Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah.
Menurut beliau, pelanggaran peraturan seperti penggunaan jentera kerajaan, pengumuman projek ketika tempoh kempen, jamuan rakyat dan pelbagai bentuk pengagihan lain juga semakin berleluasa.
Katanya, perkara itu jelas merupakan kesalahan dan perlu diberi perhatian lebih serius, dengan tindakan perlu diambil tanpa perlu menunggu petisyen pilihan raya.
Malangnya, dakwa beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum bertindak tegas.
“Lebih menghairankan, badan pengawasan pilihan raya seperti BERSIH yang dahulunya lantang namun kini agak senyap dalam isu serius ini.
“Mungkin kerana majoriti pelanggaran dilakukan oleh pihak kerajaan,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.
Tambah Tuan Ibrahim, walaupun sogokan mempengaruhi sebahagian keputusan pengundi, namun beliau percaya masih ramai pengundi yang menolak budaya itu meskipun mereka menerimanya.
“Namun saya tetap bimbang, jika “bom yang tidak meletup” ini tidak dibendung, ia akan dinormalisasikan dan akhirnya merosakkan sistem pilihan raya kita,” katanya. – MalaysiaGazette
















