KUALA LUMPUR – Di sebalik kegembiraan dengan kemenangan sulung Pas pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah namun pada masa masa, prestasi keseluruhan Perikatan Nasional (PN) disifatkan mengejutkan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia apabila kemenangan Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai itu menjadi satu-satunya kemenangan PN daripada 41 kerusi ditandingi.
Sehubungan itu, berdasarkan pengalaman sepanjang PRN-17 Sabah, banyak perkara yang perlu diberi perhatian oleh PN sekiranya mahu menjadi parti utama pillihan penduduk negeri itu pada masa depan.
Ujarnya, kejayaan calon Pas, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan di Karambunai sebenarnya lebih terserlah sebagai kekuatan peribadi yang telah dibinanya sejak beberapa tahun lalu.
Tambah beliau, ia semakin kukuh apabila beliau terus turun padang dan menyantuni rakyat selepas dilantik sebagai ADUN Lantikan.
Dengan kekuatan itu, katanya, Dr. Aliakbar tidak bertangguh sebaliknya segera menyusun pelbagai program bersama rakyat tanpa mengira agama dan suku kaum.
“Beliau tidak kekok membantu ketika rakyat dalam kesusahan. Keterampilan peribadi, sikap mesra rakyat dan komitmen kerja yang tinggi menjadi antara resipi kejayaan beliau hari ini.
“Sokongan di saat akhir juga bertambah dengan bantuan jentera pelbagai pihak meskipun tanpa menawarkan wang kepada pengundi.
“Budaya politik sogokan, janji bermusim serta aktiviti ‘ziarah rakyat’ yang hanya muncul ketika kempen adalah amalan lama yang sepatutnya ditinggalkan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.
Tambah Tuan Ibrahim, dalam masa sama, Pas yang bertanding di enam kerusi mewakili PN di Sabah perlu terus mendekati rakyat.
Katanya, Pas Sabah juga perlu memperbanyakkan cawangan, menambah keahlian dan menampilkan tokoh yang berwibawa.
“Pemimpin Pas mesti berada bersama denyut nadi rakyat, bukan hanya ketika kempen tetapi sepanjang masa susah dan senang. Budaya politik matang dan sejahtera harus menjadi rangka kerja kita dalam berdakwah dan bersiyasah.
“Saya yakin masa depan Pas dan PN di Sabah akan menjadi lebih baik, Insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette
















