Haluan memulakan misi menyalurkan bantuan segera kepada penduduk Aceh yang terjejas akibat banjir. - Gambar hiasan

BAYAN LEPAS – Desakan hidup mangsa banjir di Aceh mendorong Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) memulakan misi kecemasan pertama bagi menyalurkan bantuan segera kepada penduduk yang kekurangan makanan dan keperluan asas.

Sebagai tindakan segera, Haluan telah menggerakkan pasukan awal seramai empat sukarelawan untuk menilai situasi di lapangan termasuk aspek keperluan perubatan dan logistik.

Pasukan itu turut menyediakan sebuah lori dan beberapa buah kenderaan bagi membawa bekalan makanan bernilai RM10,000 yang sudah pun disiapkan di Banda Aceh untuk digerakkan terus ke kawasan terjejas khususnya Pidie Jaya.

Ketua Biro Kebajikan Haluan, Abdul Halim Qudri berkata, bantuan fasa pertama akan tertumpu kepada makanan dan perubatan sebelum misi susulan digerakkan untuk keperluan jangka sederhana dan panjang.

“Kita sedang gerakkan bantuan asas dahulu. Selepas penilaian lengkap, kita akan susun misi susulan termasuk kemungkinan pembinaan rumah sementara serta pondok pengajian yang rosak.

Abdul Halim.

“Kita juga merancang menghantar pasukan perubatan melalui B-Care selain menempatkan lebih ramai sukarelawan dari semasa ke semasa bergantung kepada dana yang berjaya dikumpulkan.

“Keperluan penduduk di Aceh sangat terdesak ketika ini. Dana daripada rakyat Malaysia amat penting untuk kita terus menghantar bantuan. Kami yakin dengan kemurahan hati rakyat Malaysia dalam kerja kemanusiaan,” katanya ketika ditemui pemberita di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini hari ini.

Terdahulu, sekumpulan sukarelawan daripada Haluan berlepas ke Banda Aceh bagi menggerakkan misi bantuan.

Sementara itu, Marwanshah Ismail, salah seorang peserta misi yang merupakan warga asal Aceh berkata, keadaan di kampung halamannya masih membimbangkan.

Marwanshah.

Jelas Marwanshah, hubungan rapatnya dengan masyarakat setempat membuatkan keadaan di lapangan lebih memberi kesan kepadanya, apatah lagi apabila saudara mara sendiri turut terjejas dengan gangguan komunikasi di beberapa kawasan.

“Ramai penduduk di kawasan terjejas masih menunggu bantuan asas sejak hari pertama bencana, malah sebahagian ahli keluarga di daerah Bener Meriah masih gagal dihubungi sehingga kini.

“Keperluan paling mendesak ketika ini ialah makanan dan barangan asas untuk kelangsungan hidup, terutama bagi keluarga yang kehilangan tempat tinggal serta bergantung sepenuhnya kepada bantuan luar.

“Keadaan yang serba kekurangan itu membuatkan mereka hanya mampu menunggu di lokasi selamat, tanpa kepastian bila bantuan seterusnya akan tiba,” katanya sambil menambah telah menetap di negara ini hampir 30 tahun.

Untuk rekod orang ramai boleh menyalurkan bantuan dengan melayari laman web www.haluan.org.my selain mendapatkan perkembangan bantuan melalui laman Facebook organisasi itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast