KUANTAN – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bukan bahan propaganda politik dan bukan juga ruang untuk diputar belit demi kepentingan pihak tertentu.
Ketua Pemuda Pergerakan UMNO Indera Mahkota, Nik Mohd Ridzuan Kamarudin berkata, tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mempersoalkan Ketua Audit Negara selain mempolitikkan isu berkenaan adalah tidak wajar.
“Jika laporan institusi bebas pun sanggup dipersoalkan tanpa asas, maka jelas wujud cubaan melarikan diri daripada akauntabiliti.
“Rakyat berhak tahu siapa yang berani mempertahankan ketelusan, dan siapa yang cuba melemahkannya dah hanya tahu menyalahkan sahaja,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Nik Mohd Ridzuan, politik seharusnya berlandaskan fakta, adab dan tanggungjawab sebaliknya kenyataan yang bersifat mengelirukan atau merendahkan institusi negara hanya akan menjejaskan kepercayaan rakyat dan melemahkan sistem tadbir urus yang kita pertahankan bersama.
Sebarang percubaan untuk meremehkan atau mempersoalkan kewibawaan laporan tersebut tanpa asas kukuh bukan sahaja mengelirukan rakyat malah boleh ditafsirkan sebagai satu tindakan yang merendahkan martabat institusi Ketua Audit Negara.
Pihaknya memandang serius sebarang kenyataan yang membayangkan bahawa LKAN adalah silap atau tidak tepat.
Ketua Audit Negara merupakan sebuah institusi bebas yang dilantik Yang Di-Pertuan Agong selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Isu ini bukan sekadar perbezaan pandangan politik atau polemik kepartian, sebaliknya melibatkan prinsip penghormatan terhadap institusi Raja dan institusi negara yang menjadi tunjang kepada sistem pemerintahan berperlembagaan di Malaysia,” katanya.
Pergerakan Pemuda UMNO Indera Mahkota tidak akan berkompromi dalam mempertahankan kebenaran, integriti dan maruah institusi negara.
Sehubungan itu, pihaknya menuntut agar Tuan Ibrahim menarik balik kenyataan tersebut dan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Tindakan itu penting demi memelihara keyakinan rakyat terhadap institusi negara serta menghormati peranan Ketua Audit Negara sebagai badan semak dan imbang yang bebas.
Terdahulu pada Jumaat lalu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Cheka secara terbuka menuduh Ketua Audit Negara tidak memahami LKAN 2024 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang lalu. – MalaysiaGazette
















