ACEH – Penduduk Desa Geudumbak, Aceh Utara, dekat sini mendakwa terpaksa minum air berlumpur yang bertakung depan rumah selepas bekalan air bersih terjejas akibat banjir besar pada 26 November lalu.
Menurut Salimah Khalidin, 30-an, banjir besar tersebut mengakibatkan bekalan air dan elektrik terputus sehingga kini dan penduduk tiada pilihan selain minum air banjir bertakung kerana sumber air lain dari sungai berdekatan sudah tercemar teruk.
Dia berkata, mangsa banjir terpaksa minum air bertakung itu selama lebih seminggu dan ada penduduk yang sakit kerana minum air dari sumber tersebut.
“Bekalan air bersih tidak dapat dihantar masuk ke desa ini kerana jalan masuk sudah terputus hubungan. Penduduk tidak dapat menggunakan sumber air dari perigi kerana turut tercemar malah airnya sudah bertukar warna hitam dan berbau selut.
“Kesannya ada yang sakit, demam dan batuk-batuk selain gatal-gatal. Air yang diminum itu berlumpur, tidak bersih. Syukurlah sekarang sudah ada bekalan air bersih untuk kita gunakan,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Misi Kemanusiaan Sumatera 2025 di surau desa tersebut, semalam yang dijadikan pusat perlindungan mangsa banjir dan tempat mengagihkan bantuan.
Misi tersebut dianjurkan Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) dan Pasaraya Econsave yang bermula 18 hingga 23 Disember ini dalam usaha memberi bantuan kepada mangsa banjir terutama di Sumatera dan Aceh.
Turut hadir Pengurus Besar Pasaraya Econsave Mas Imran Adam dan Ketua Projek MyCare, Noorsyazli Rameli merangkap Ketua Misi Kemanusiaan Sumatera 2025.
Bercerita lanjut, Salimah berkata, sebelum ini, sumber air yang kotor itu bukan sahaja digunakan untuk makan minum atau mandi tetapi juga membasuh pakaian.
Sementara itu, Mas Imran berkata, pihaknya dan MyCare menyumbangkan dua lori tangki air besar untuk digunakan mangsa banjir terutama yang ditempatkan di surau desa tersebut.
“Bekalan air ini cukup untuk digunakan dalam tempoh kira-kira satu minggu. Bukan sahaja mangsa banjir yang ditempatkan di surau ini boleh memanfaatkannya tetapi juga mereka yang tinggal berdekatan,” katanya.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Salimah Khalidin
















