KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam pengedaran rokok kontraban semasa serbuan Op Taring Alpha 1 di Klang, Selangor, semalam.
Operasi bersama itu dijalankan cawangan khas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.
Komander Batalion 4, Supt Amanjit Singh berkata, ketika serbuan, pihak berkuasa berjaya merampas 750 katon rokok putih yang dipercayai tidak bercukai bersama sebuah kereta Nissan Almera yang disyaki digunakan untuk pengedaran.
“Nilai keseluruhan barang rampasan dalam operasi tersebut adalah kira-kira RM320,000.
“Seorang lelaki berusia 60 tahun ditahan dan kesemua barang rampasan dibawa ke IPD Klang Selatan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Amanjit turut menggesa orang awam untuk bekerjasama dan membuat laporan terhadap sebarang aktiviti haram kepada pihak polis. -MalaysiaGazette















