ISKANDAR PUTERI – Forest City boleh dibangunkan sebagai penyelesaian kepada isu kesesakan trafik dan kepadatan penduduk yang semakin meruncing di Bandaraya Johor Bahru.
Pengarah Research Institute for Sustainable Environment (RISE) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts. Dr. Muhammad Zaly Shah berkata, Forest City iaitu sebahagian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) boleh menjalin kerjasama strategik bagi tujuan tersebut.
Beliau yang juga merupakan Presiden Institut Piagam Pengangkutan dan Logistik Malaysia (CILTM), berpendapat, masalah tersebut boleh dikurangkan sehingga 25 peratus dalam tempoh kurang 10 tahun.
“Forest City berpotensi untuk menjadi lokasi ‘urban dispersal’ atau penyuraian kepadatan di kawasan bandar raya Johor Bahru ke lokasi pinggir bandar.
“Boleh dikatakan 80 peratus fasiliti dan kemudahan infratruktur bagi menjayakan perkara tersebut telah lengkap tersedia,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, apa yang perlu ditambah adalah satu hab yang menghubungkan pelbagai mod pengangkutan seperti lebuh raya dan erkhidmatan bas ‘shuttle’ ke lokasi tumpuan berhampiran.
Jelasnya, ini termasuk laluan pejalan kaki dan pelbagai bentuk pengangkutan lain termasuk ‘water taxi’ iaitu pengangkutan feri Ro-Ro dan tren seperti Aliran Transit Automasi Bertingkat (E-ART) serta Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR).
Katanya, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim juga pernah bertitah supaya projek HSR dapat dihidupkan semula dan jajarannya melintasi Forest City.
Muhammad Zaly turut memberi cadangan adalah baik sekiranya satu lagi tambahan stesen dibuat di Pontian kerana berhampiran dan dapat menyokong lagi pertumbuhan Forest City sebagai Zon Kewangan Khas (SFZ) dan JS-SEZ.
Sekiranya perkara tersebut menjadi realiti, beliau memberitahu stesen berkenaan bakal menjadi tarikan terhadap kemasukan bukan sahaja pelaburan asing tetapi juga perpindahan penduduk dari kawasan lain ke sekitar Forest City dan Iskandar Puteri.
“Menerusi kerjasama strategik, Forest City boleh menyediakan lokasi terbaik manakala kerajaan boleh menyuntik dana bagi pembinaan infrastruktur yang berkepentingan awam.
“Ini sekali gus mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak terlibat termasuklah pengguna yang merupakan rakyat tempatan,” tambahnya.
Muhammad Zaly Shah turut memberitahu, Forest City juga perlu aktif mempromosikan kempen pembelian hartanah dan kediaman di kawasan berkenaan khususnya dalam kalangan rakyat tempatan.
“Bagi memastikan pembangunan Forest City sebagai sebuah bandar raya baharu di negeri ini berjaya, mereka perlu ‘create demand’ dengan menjemput kemasukan pelabur-pelabur atau syarikat berjenama utama yang mampu menarik kedatangan pengunjung ke kawasan tersebut.
“Malahan bukan itu sahaja, kewujudan peluang pekerjaan baharu buat penduduk tempatan dengan pelbagai tarikan serta kemudahan umum mampu menarik orang ramai untuk terus menjadikan kawasan itu sebagai kediaman keluarga dan bukan sahaja sebagai kawasan bekerja,” ujarnya
Sekiranya usaha itu berhasil, beliau berkata, Forest City akan menjadi destinasi tumpuan bukan sahaja bagi kemasukan pelabur antarabangsa tetapi juga satu kawasan kediaman yang menyediakan ‘work life balance’ kepada mereka yang bekerja dan tinggal di situ
Tambah beliau lagi, ketika ini Forest City adalah satu kawasan pembangunan futuristik yang melangkaui zaman namun dengan perancangan rapi, mampu dibangunkan sebagai satu hab ekonomi dan penempatan utama di selatan tanah air.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada 13 November lalu menzahirkan kebimbangan dan bertitah agar kerajaan Persekutuan mencari penyelesaian segera kepada masalah pengangkutan yang dijangka berlaku termasuklah dengan pembinaan sistem penyuraian trafik seperti E-ART.- MalaysiaGazette
















