ROMPIN – Paras air mencecah hampir dua meter dan menenggelamkan laluan utama sepanjang 600 hingga 800 meter di Jalan Taman Negeri Endau Rompin, menyebabkan dua pelancong warga Itali terperangkap dan terputus hubungan dalam kawasan hutan simpan berkenaan, semalam.
Kejadian yang bermula sejak awal pagi itu disedari apabila ejen syarikat pelancongan gagal memasuki kawasan taman negara berkenaan selepas laluan keluar masuk ditenggelami air sepenuhnya, sekali gus menghalang sebarang kenderaan biasa daripada melaluinya.
Mangsa, Giulia, 42, dan Leonardo, 43, yang mendaftar masuk ke taman negara itu pada 25 Disember lalu, sepatutnya dibawa keluar pada pagi 27 Disember namun gagal.
Situasi semakin mendebarkan apabila kedua-dua pelancong terbabit tidak dapat dihubungi, memaksa laporan kecemasan dibuat kepada Balai Polis Kuala Rompin sekitar jam 9.30 pagi.
Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Rompin segera menggerakkan operasi menyelamat rentas air, menggunakan lori berat dan bot bagi meredah laluan yang dinaiki air sedalam hampir dua meter.
Pasukan penyelamat berjaya tiba di lokasi sebelum mengeluarkan kedua-dua mangsa dengan selamat, dan operasi tamat jam 1 petang tadi.
Mangsa kemudian dibawa keluar menggunakan bot sebelum dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin untuk diserahkan kepada ejen pelancongan masing-masing. – MalaysiaGazette
















