KUALA LUMPUR – Pas Negeri Sembilan menyelar Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil yang menyifatkan parti itu `bom jangka’ dalam mana-mana pakatan atau gabungan politik.
Ketua Penerangan Pas Negeri Sembilan, Ismail Mahat berkata, tafsiran sedemikan adalah berat sebelah dan mengabaikan realiti politik di negara ini.
Menurutnya, sejarah politik negara membuktikan hampir semua gabungan politik sama ada Barisan Nasional (BN); Pakatan Rakyat (PH) atau Pakatan Harapan (PH) pernah berdepan perpecahan akibat pertembungan kepentingan, bukan semata-mata kerana Pas.

Sebaliknya, tambah beliau, Pas konsisten mempertahankan prinsip Islam dan kedaulatan rakyat, dan tidak tunduk kepada kompromi yang bercanggah dengan dasar perjuangan.
“Cubaan meletakkan keretakan dalaman Perikatan Nasional (PN) sebagai kesalahan mutlak Pas adalah tidak jujur.
“Hakikatnya, Pas kekal sebagai parti paling stabil dalam PN dari sudut kepimpinan, disiplin dalaman dan sokongan akar umbi.
“Pas tidak pernah menuntut jawatan secara melampau, sebaliknya mengutamakan kestabilan pentadbiran dan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Muhammad Faiz menyifatkan Pas sebagai `bom jangka’ apabila sekurang-kurangnya tujuh pakatan atau gabungan politik yang pernah disertai Pas sebelum ini berakhir dengan kegagalan serta perpecahan.
Sementara itu, tambah Ismail, Pas tidak menafikan realiti bahawa Malaysia memerlukan kerjasama politik, namun menolak politik pengkhianatan dan politik oportunis yang sanggup menggadaikan prinsip demi kuasa.
Menurutnya, sejarah membuktikan Pas sentiasa konsisten, manakala parti-parti lain termasuk Amanah sendiri lahir daripada perpecahan dalaman dan kegagalan menghormati keputusan jemaah.
Dalam masa sama, beliau turut menyangkal dakwaan negeri-negeri dikuasai Pas-PN (SG4) gagal dari sudut eknonomi sedangkan negeri-negeri itu berdepan kekangan ekonomi dan ketidakseimbangan pembangunan Pusat-negeri serta dasar Persekutuan lampau memberi kesan jangka panjang.
“Pas Negeri Sembilan mengingatkan Amanah agar kembali kepada politik beradab dan berfakta.
“Rakyat semakin matang dan tidak lagi terpengaruh dengan politik kebencian serta naratif songsang.
“Pas akan terus komited memperjuangkan kestabilan, integriti, kebajikan rakyat dan masa depan negara berteraskan Islam dan Perlembagaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















