KUALA LUMPUR – Para pemimpin Pas menggunakan laman sosial media masing-masing bagi meluahkan rasa dan isi hati dipercayai berkait pelantikan Menteri Besar Perlis baharu, Abu Bakar Hamzah yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu.
Antaranya, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menerusi laman sosial Facebooknya meluahkan, setia dan kawan dua kalimah yang sukar bersatu.
Sementara itu, dalam hantaran berbeza, Mohd Amar turut membangkitkan tanda tanya yang lebih serius menerusi persoalan: “Apakah retak menanti belah”.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/12/28/abu-bakar-dilantik-mb-perlis-yang-baharu/
Dalam pada itu, nada kekecewaan turut dikongsikan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden menerusi Facebooknya menerusi hantaran berbunyi: “Terima kasih kerana mengajar kami erti KAWAN. Akan diingati sampai bila-bila.”
Sementara itu, Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Ahmad Adnan Fadzil pula berkata, dalam politik, kelicikan semata-mata tidak menjamin kelangsungan, sebaliknya kejujuranlah sebenarnya senjata untuk bertahan.
Tambahnya, termasuk dalam kejujuran adalah jujur menyampaikan apa yang sebenarnya kepada pimpinan tertinggi, agar keputusan yang dibuat benar-benar tepat dan adil.
“Jika prinsip ini dipelihara, tidak akan berlaku apa yang sedang kita saksikan hari ini.
“Semoga kita semua menginsafi kesalahan diri dan memperbaikinya,” katanya.
Sementara itu, dalam hantaran berbeza, Ahmad Adnan berkata, lantikan Abu Bakar sebagai Menteri Besar Perlis bukan bermakna Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail tidak menghormati Pas.
Sebaliknya, kata beliau, ia supaya Pas menyedari bahawa baginda juga mempunyai kuasa yang mesti dihormati.
“Kita perlu terima kesilapan kita dan membetulkannya,” katanya.
Terdahulu, Abu Bakar yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis dilantik sebagai Menteri Besar Perlis bagi menggantikan Mohd Shukri Ramli yang sebelum ini meletak jawatan. – MalaysiaGazette
















