Ahmad Adnan Fadzil

KUALA LUMPUR – Dominasi politik Pas di Perlis akan lebih kukuh sekiranya usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) dapat direalisasikan.

Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Ahmad Adnan Fadzil berkata, Pas juga tidak sukar untuk terus menerajui Perlis jika tiga tonggak dimanfaatkan dengan baik.

Tiga tonggak itu, menurutnya, ialah Ahli Parlimen Arau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas III, Datuk Seri Shahidan Kassim; Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dan Perikatan Nasional (PN).

Ujarnya, politik Perlis sangat sangat dipengaruhi oleh tokoh fenomena dan faktor personaliti termasuk bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr Haron Din.

“Dahulu, DSSK (Shahidan) dan Ustaz Hashim pernah berada dalam posisi berbeza, dan tidak dinafikan DSSK lebih bersifat umum serta fenomena massa. Ustaz Hashim pula menjadi teras kekuatan PAS Perlis sejak sekian lama.

“Kini, kedua-duanya berada dalam satu wadah yang sama (PAS),” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Ahmad Adnan menyifatkan kebanyakan penduduk Perlis `pemalu politik’ kerana jarang bersembang atau menzahirkan pendirian politik mereka secara terbuka.

Katanya, pandangan sebenar politik penduduk Perlis biasanya hanya dizahirkan di atas kertas undi, bukan di dalam media sosial atau wacana awam.

Jelasnya, dalam berpolitik, majoriti penduduk Perlis juga berada di atas pagar, diikuti dengan sokongan kepada parti seperti UMNO, Pas dan Bersatu.

“PAS memiliki kekuatan dari sudut jentera, logistik dan akar umbi, namun sokongan rakyat secara keseluruhan masih memerlukan simpati pengundi atas pagar, sokongan rakan BERSATU, dan hijrah sebahagian pengundi UMNO.

“Gabungan inilah yang selama ini menjadi faktor penting kemenangan PAS,” katanya.

Dari sudut lain, Ahmad Adnan berkata, penduduk Perlis juga sangat dekat dan mesra dengan Raja.

Menurutnya, Raja di Perlis bukan raja istana, tetapi raja di lapangan yang sentiasa bersama rakyat dan aktif turun padang, khususnya Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

“Malah, ada rakyat yang merasakan mereka lebih kerap melihat Tuanku Raja berbanding Menteri Besar sendiri.

“Faktor ini sangat signifikan dalam memahami psikologi politik rakyat Perlis,” katanya.

Sementara itu, ujarnya, institusi mufti di Perlis juga mempunyai pengaruh besar dengan Mufti Perlis, khususnya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang merupakan tokoh fenomena dan memberi kesan besar terhadap wacana agama dan pemikiran masyarakat.

Jelasnya, ia sekali gus menjadi faktor penting dalam landskap sosial dan politik negeri. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast